Select Page

AFF akan guna VAR

AFF akan guna VAR

PERSEKUTUAN Bola Sepak Asean (AFF) mengesahkan bahawa Video Assistant Referee (VAR) akan digunakan dalam kejohanan-kejohanan anjuran badan induk itu selepas ini.

Keputusan itu dibuat selepas teknologi berkenaan telah digunapakai ketika Kejuaraan Bawah 16 Tahun (B-16) Asean 2024 yang berlangsung di Surakarta (Solo), Indonesia baru-baru ini.

Perkembangan terkini mengenai perkara tersebut disahkan AFF menerusi satu kenyataan media dikeluarkan oleh presidennya, Jeneral Mejar Khiev Sameth.

Menurut AFF, ia akan memperkenalkan VAR secara berperingkat dalam pertandingan-pertandingannya yang lain, bermula dengan Kejuaraan Bawah 19 Tahun ASEAN dari 17 hingga 29 Julai ini.

Penggunaan teknologi itu akan diikuti oleh Piala Kelab ASEAN Shopee 2024/25 bermula 21 Ogos 2024 hingga 21 Mei 2025 dan kemudiannya dalam saingan Piala ASEAN Mitsubishi Electric pada penghujung tahun dari 23 November hingga 21 Disember 2024.

 

 

“AFF percaya VAR sedang mengubah wajah bola sepak ASEAN dan telah menjadi salah satu unsur penting yang akan meningkatkan pertandingan-pertandingan kami ke tahap yang lebih tinggi,”

“Penggunaan teknologi ini dalam Kejuaraan Kanak-kanak lelaki B-16 ASEAN di Solo, Indonesia, sejajar dengan usaha terancang dan berterusan AFF untuk meningkatkan pertandingan-pertandingan kami termasuk menyediakan sokongan terbaik kepada pengadil untuk membuat keputusan yang tepat, konsisten, dan berinformasi.”

“Saya merakamkan penghargaan Majlis AFF dengan mengucapkan terima kasih kepada FIFA, AFC, Encik Erick Thohir (Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia) dan rakan-rakannya di PSSI atas bantuan yang besar dalam pelaksanaan VAR di Kejuaraan B-16 ASEAN 2024.”

“Selain itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Projek VAR yang dipengerusikan oleh Encik Viphet Sihachakr, Setiausaha Agung AFF, Encik Winston Lee serta Encik Rodzali Yacob dan pasukannya pengadil atas usaha tanpa henti mereka semasa proses pelaksanaan,” tambah Mejar Sameth lagi.