KETUA jurulatih Harimau Malaya Pau Marti berkongsi bahawa Kejohanan AFF 2024 akan menjadi pentas terakhirnya bersama skuad kebangsaan dan tetap bertekad untuk menutup tirai dengan pencapaian terbaik demi negara.

Marti menjelaskan keputusan ini dibuat bukan atas kehendaknya sendiri, malah keinginannya untuk terus bersama pasukan, namun menghormati keputusan pihak atasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya ingin terus kekal di sini lebih lama, sudah tentu. Tetapi ini bukan keputusan saya. Kami menerimanya, dan fokus saya sekarang adalah untuk melakukan yang terbaik dalam kejohanan ini,” katanya.

Pengumuman ini, yang dibuat sebelum bermulanya persaingan AFF, bertujuan memastikan pemain dan barisan kejurulatihan dapat fokus sepenuhnya kepada kejohanan tanpa gangguan.

Bagaimanapun, Marti mengakui bahawa keputusan tersebut telah meninggalkan rasa sedih di kalangan pemain dan staf.

“Kami semua sedih dengan situasi ini. Tetapi dalam bola sepak, ini adalah sebahagian daripada perjalanan.

“Saya percaya masa terbaik untuk mengumumkannya adalah sebelum kejohanan bermula, supaya semua orang dapat memberi fokus sepenuhnya,” jelasnya.

Marti turut menyentuh perjalanan bersama Harimau Malaya sejak dilantik pada Februari 2022.

Sepanjang dua tahun bersama, Marti berjaya mencipta beberapa kejayaan termasuk memenangi Piala Merdeka baru-baru ini.

“Saya hanya seorang jurulatih bola sepak dan tugas saya adalah menyokong pasukan, membimbing pemain, serta memastikan mereka bersedia sepenuhnya.

“Soal keputusan pihak atasan bukan di tangan saya,” tambahnya.

Ketika ditanya mengenai emosi menjelang perpisahan ini, Marti mengakui situasi tersebut adalah sesuatu yang sukar.

Namun, dia mahu memastikan pasukan memberi aksi terbaik di kejohanan ini sebagai penghormatan terakhir kepada penyokong setia Harimau Malaya.

Harimau Malaya dijadualkan membuka tirai saingan AFF 2024 menentang Kemboja pada Ahad, dan Pau Marti berjanji untuk meninggalkan impak positif dalam tugas terakhirnya bersama skuad kebangsaan dalam kejohanan tersebut.