HANYA tiga mata penuh menjadi buruan Selangor FC dalam aksi terakhir Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 apabila menentang Dynamic Herb Cebu di Stadium Memorial Rizal, Manila pada Khamis.

Pengendali pasukan, Katsuhito Kinoshi mengakui mereka hanya fokus kepada persembahan pasukan sendiri tanpa memikirkan keputusan satu lagi aksi antara Muangthong United dan Jeonbuk Hyundai Motors.

Selangor memerlukan kemenangan dengan mengharapkan Muangthong United tidak menang keatas Jeonbuk bagi menempah tempat ke pusingan 16 terbaik yang akan bermula pada Februari 2025.

Kinoshi hanya mahu fokus kepada tiga mata dalam aksi menentang Dynamic Herb Cebu 

“Buat kami semua permainan adalah penting bukan hanya aksi ini. kami hadir ke sini untuk menang dan perlu tunjukkan cara permainan kami iaitu aggresif untuk bawa pulang tiga mata.

“Walaupun baru dua minggu di sini, saya sudah mengenali pasukan ini termasuk kekuatan dan kelemahan pemain tetapi kami adalah Selangor FC dan tugas kami adalah meraih kemenangan dan bermain bola sepak yang bagus.

“Kami hanya fokus pada corak permainan sendiri dan saya tidak peduli dengan keputusan lepas serta keadaan padang kerana apa yang penting hanyalah kemenangan dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Dalam sidang media yang sama, kapten pasukan, Safuwan Baharudin turut senada dengan Kinoshi yang menyatakan hanya kemenangan yang dicari dan sedar akan jangkaan besar yang diharapkan daripada banyak pihak terutama penyokong.

“Seperti yang dikatakan jurulatih, kami hanya inginkan kemenangan selepas kecewa di tangan Jeonbuk dan Muangthong United. Apa jua yang terjadi pada perlawanan satu lagi, matlamat kami adalah untuk menang kerana sedar jangkaan yang tinggi diletakkan kepada kami.

“Ianya akan menjadi satu perlawanan yang berbeza dengan intensiti yang lebih tinggi kerana kami mahu menguji diri kami sendiri. Keadaan padang yang berbeza juga akan menguji kami tetapi apa yang penting adalah kemenangan,” jelasnya.

Selangor FC kini berada di tangga ketiga dengan tujuh mata selepas lima perlawanan manakala Dynamic Herb Cebu ditangga terbawah dan sudah tersingkir dari kejohanan.