Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan sokongan luar biasa penyokong di Stadium Emirates sebagai antara faktor utama kejayaan pasukannya melangkah ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh dua dekad.
The Gunners mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan Atletico Madrid 1-0 pada aksi separuh akhir kedua awal pagi tadi menerusi jaringan Bukayo Saka, sekali gus mara dengan agregat 2-1.
Arteta mengakui suasana yang dicipta penyokong sejak sebelum sepak mula memberi suntikan tambahan kepada pemain untuk tampil dengan aksi terbaik dalam perlawanan penting itu.
Menurutnya, detik meraikan kemenangan bersama penyokong menjadi ganjaran terbesar selepas segala usaha dan pengorbanan sepanjang musim.
“Kami sudah lama mahu menghadiahkan malam seperti ini kepada penyokong. Cara mereka menyambut pasukan dan memberi tenaga di stadium memang luar biasa,” katanya.
Pengendali dari Sepanyol itu turut memuji semangat kebersamaan dalam skuad Arsenal, termasuk pemain yang tidak diturunkan dalam kesebelasan utama tetapi tetap memberikan sokongan penuh kepada pasukan.
Arteta berkata perkara itu menggambarkan mentaliti positif dalam kem Arsenal ketika mereka kini memburu dua trofi utama musim ini.
Beliau turut menyifatkan Saka sebagai pemain paling layak muncul wira kemenangan selepas pemain sayap England itu sekali lagi menjadi watak penting buat Arsenal di pentas besar.
Arsenal kini hanya selangkah untuk memburu trofi Liga Juara-Juara pertama dalam sejarah kelab dan bakal menentang sama ada Paris Saint-Germain (PSG) atau Bayern Munich pada final di Budapest hujung bulan ini.
Dalam masa sama, Arsenal turut berada di landasan terbaik memburu gelaran Liga Perdana Inggeris apabila mendahului Manchester City dengan kelebihan lima mata.
Sementara itu, pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone mengakui Arsenal lebih layak mara ke final berdasarkan aksi keseluruhan kedua-dua perlawanan.
Menurutnya, pasukannya sudah memberikan tentangan terbaik namun gagal memanfaatkan peluang yang dimiliki terutama pada babak kedua.
“Kami perlu menerima hakikat bahawa Arsenal lebih baik dan lebih efektif dalam perlawanan ini,” katanya.
Sumber Gambar: Website Arsenal FC