SELANGOR FC tampak memiliki peluang seimbang untuk meneruskan kemaraan jauh dalam saingan Liga Juara-Juara AFC II (ACLII) musim ini apabila diundi dalam Kumpulan G bersama tiga kelab serantau– Persib Bandung (Indonesia), Bangkok United (Thailand) dan Lion City Sailors (Singapura) dalam undian yang dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam.
Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, mengakui undian itu memberi kelebihan dari segi logistik kerana semua lawan berasal dari negara berdekatan. “Pasukan lawan kesemuanya dari negara yang berdekatan dengan Malaysia dan ini baik buat pemain kerana tidak perlu mengembara jauh. Keadaan kondisi pemain juga akan menjadi lebih baik.
“Ketiga-tiga pasukan mempunyai rekod sejarah yang baik tetapi bagi saya, apa yang penting adalah pasukan kami. Sasaran saya adalah memastikan kami meningkatkan prestasi dalam semua pertandingan yang kami sertai,” kata pengendali Selangor FC Katsuhito Kinoshi.
Berdepan Persib Bandung bererti Kinoshi perlu beradu kemahiran taktikal dengan bekas pengendali Kuala Lumpur City, Bojan Hodak yang baru sahaja menjuarai Liga Super Indonesia musim lalu. Bekas pengendali skuad bawah 19 tahun negara itu juga amat mengenali pemain-pemain tempatan dalam skuad Selangor FC.
Satu lagi scenario menarik adalah apabila Selangor berdepan Lion City Sailors yang bakal membariskan bekas kapten dan tonggak pertahanan Merah Kuning, Safuwan Baharuddin yang mungkin mahu membuktikan sesuatu kepada Kinoshi yang sebelum ini secara terbuka mengakui pemain itu tiada dalam perancangannya.
Bagi Kinoshi, apabila berbicara mengenai Sailors bukan kelibat Safuwan yang merisaukannya tetapi pemain import kelab Singapura itu iaitu Anderson Lopes yang sebelumini muncul sebagai penjaring terbanyak Liga J1 bersama Yokohama F Marinos.
“Lion City Sailors kini memiliki ramai pemain import selepas Singapura mengubah peraturan pengambilan import. Apabila sesebuah pasukan mempunyai pemain seperti Lopes, ia memberi gambaran mereka juga mahu melangkah jauh dalam saingan kali ini dan kami harus bersedia,” tambah Kinoshi.
Walaupun sedar cabaran sengit menanti, Kinoshi kekal optimis Selangor mampu melepasi saingan peringkat kumpulan. Beliau menegaskan pasukannya akan memberi tumpuan kepadasetiap lawan dalam Kumpulan G satu demi satu, dengan harapan mengibarkan cabaran Malaysia ke peringkat lebih tinggi dalam ACLII musim ini.