PENGELUAR bola rasmi bagi final Piala FA, Activesports telah mengambil tindakan serta merta dengan menukar logo yang tertera pada bola yang bakal digunakan dalam aksi antara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) Sabtu nanti.

Dalam satu instastory Activesports, mereka sendiri mengumumkan bahawa pihaknya telah menukar logo pasukan JDT dan Selangor FC (bola sebelum ini) kepada bentuk tulisan sahaja (bola terkini).

Dalam masa yang sama, pihak Activesports juga telah memohon maaf atas kekhilafan dan menegaskan mereka cakna dengan sensitiviti penyokong kedua-dua pasukan.

Kenyataan yang dimuat naik di laman InstaStory Activesports.

“Kami dari pihak Activesports cakna atas sensitiviti dan memohon maaf akibat kekhilafan (meletakkan logo pada bola). Suara anda penyokong ke-12 sangat penting buat kami yang juga perlukan sokongan anda.

“Jadi inilah bola rasmi perlawanan yang akan digunakan pada final Piala FA nanti. Kami di Activesports berbesar hati atas keprihatinan semua dan berterima kasih atas sokongan anda,” jelas pihak Activesports di Instagram Story.

Sabtu ini merupakan hari bermakna buat peminat Selangor dan JDT yang menunggu aksi final tumpuan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil tepat jam 9 malam.