MASIH ada pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang belum menerima sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain import, ketika saingan musim 2023 bakal bermula kira-kira 24 jam sahaja lagi.
Hal itu disahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berikutan tarikh akhir pendaftaran pemain musim ini akan tamat jam 11.59 malam esok (23 Februari).
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, situasi itu dipercayai berlaku kerana ada pemain import yang masih dalam tempoh percubaan dengan pasukan masing-masing.
Stuart berkata, meskipun tarikh tutup pertama pendaftaran pemain untuk musim ini semakin berakhir, beliau yakin semua pasukan tidak berdepan masalah untuk berbuat demikian.
“Liga semakin dekat nak bermula dan kami berharap semua pasukan dapat melengkapkan pendaftaran pemain termasuk dalam soal dokumen dan ITC.
“Saya percaya semua pasukan akan melengkapkan proses pendaftaran pemain sebelum tarikh tutup iaitu pada 23 Februari pada pukul 11.59 malam.
“Saya rasa tiada isu berbangkit selain satu dua pasukan yang masih belum terima ITC pemain import atas sebab pemain itu masih dalam tempoh percubaan.
“Proses percubaan ini adalah perkara biasa kerana setiap pasukan tidak mahu menghadapi sebarang risiko,” kata Stuart, ditemui pada majlis menandatangani perjanjian penajaan dengan AEON BiG Malaysia.
Terdahulu AEON BiG yang diwakili Pengarah Urusannya, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed menjadi rakan kongsi ke-12 MFL bagi musim ini dan akan menjadi penaja eksklusif Hipermarket untuk musim 2023.
Difahamkan, tempoh pendaftaran kedua pemain untuk Liga Super akan dibuka semula pada Jun bagi membolehkan proses pendaftaran dan pertukaran pemain.
Mengulas lanjut, Stuart berkata, tidak semua pasukan Liga Super akan melengkap kouta sembilan pemain import pada musim ini, selepas mengambil kira bajet dan kedudukan kewangan pasukan masing-masing.
“Sama juga dengan musim lalu, tidak semua pasukan lengkap lima pemain import dan tidak bermakna semua pasukan juga akan lengkapkan senarai 32 pemain yang dibenarkan dalam pendaftaran.
“Ini semua (sembilan import) adalah peraturan lama dan apa yang berlaku di atas padang tidak berubah iaitu 3+1+1. Jurulatih boleh ambil import ikut keperluan dan kita benarkan sembilan tetapi tidak semua ambil peluang,” katanya.