TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim memuat naik satu video rasmi di setiap laman media sosial peribadinya yang menyatakan sokongan penuh terhadap wira-wira bola sepak negara yang akan berjuang di kempen Piala Asia Qatar 2023.
“Kepada pasukan kebanggaan negara, Harimau Malaya, saya ucapkan selamat maju jaya dan saya yakin dengan semangat perjuangan anda di bumi Qatar.
“Doa seluruh rakyat Malaysia bersama dengan anda.
“Kepada semua ekor harimau sejati, walaupun kita tidak dapat bersama dengan pasukan kebangsaan di Qatar, jangan risau kita bawakan skrin besar di seluruh negara. Jadi semua boleh turun bagi sokongan kepada mereka,” ujarnya dalam satu video tersebut.
Skuad kebangsaan kita bakal memulakan aksi bagi saingan Kumpulan E Piala Asia 2023 bertemu Jordan pada 15 Januari, diikuti Bahrain dan Korea Selatan.
Dalam pada itu, jangan lupa untuk memeriahkan skrin besar anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai tanda sokongan perjuangan pasukan bola sepak negara.