PEMAIN pertahanan Penang FC, Adib Raop tidak mahu alpa dengan apa yang dikecapinya ketika ini.
Pemain kelahiran Bagan Datuk ini memulakan musim liga 2024/2025 dengan menunjukkan prestasi yang terbaik mahu terus belajar dan berusaha untuk meningkatkan lagi tahap permainannya agar dapat dipanggil ke kem latihan kebangsaan secara regular.
“Di posisi saya ni terdapat banyak pemain senior yang mempunyai pengalaman luas di pentas anatarabangsa, jadi saya perlu belajar dengan lebih banyak dan saya perlu berusaha keras untuk berada di tahap yang sama dengan mereka.

“Tapi itu tidak menjatuhkan semangat saya untuk bermain malah saya anggap ini adalah satu pemabakar semangat untuk saya.
“Coach Akmal (Rizal) ada bagi nasihat kepada saya, dia minta saya untuk kekal fokus dan beri 100 peratus dengan apa yang coach Kim minta. Beliau juga minta saya untuk bertenang untuk setiap perkara yang saya buat dan jadi diri sendiri,” beliau berkata ketika sesi latihan hari keempat Harimau Malaya di Wisma FAM.
Dalam masa sama, Adib mengakui sesi latihan di kem kebangsaan berbeza berbanding di kelab namun dia dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

“Alhamdulilah saya dapat adapt dengan latihan yang diberikan oleh Kim Pan-gon. Apa yang Syamer (Kutty Abba) dan Sikh (Izhan) beritahu saya awal-awal mengenai latihan berintensi tinggi sekarang ini.
“Taktikalnya juga saya mudah memahami dan coach Kim ada panggil saya secara berseorangan untuk menerangkan dengan lebih perinci untuk memudahkan kefahaman saya.
“Saya kena tunjuk dan membuktikan kepada coach Kim bahawa saya layak bermain dalam skuad kebangsaan. Semua usaha tu terletak kepada diri saya dahulu dan saya berharap coach dapat beri peluang kepada saya untuk tunjukkannya,” tambahnya lagi.
Skuad negara bakal mengharungi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun dan Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024 ini.