PASARAYA besar AEON BiG memasang impian untuk terus melebarkan lagi sayapnya dalam arena sukan tanah air pada musim 2024 ini.
Tidak hairan apabila sebuah syarikat meletakkan cita-cita sedemikian apabila di belakangnya itu terdapat seseorang yang berjiwa sukan dan sentiasa berusaha untuk mencari inisiatif agar dekat dengan komuniti.
Sheikh Farouk Sheikh Mohamed selaku Pengarah Urusan AEON BiG Malaysia telah menyatakan hasratnya kepada FLASH SUKAN untuk terus bersama dengan pasukan Harimau Malaya dan Selangor FC pada 2024 setelah berkolaborasi dengan mereka sejak tahun lalu.

Kolaborasi antara AEON BiG dan Terengganu FC yang diadakan pada November lalu.
Tidak lupa juga, baru-baru ini syarikat AEON BiG juga telah menjalin kolaborasi bersama pasukan Terengganu FC dan dari situ telah memperlihatkan semangat kesukanan yang tinggi oleh pihak AEON BiG.
“Kami ingin berkembang dalam arena sukan bukan untuk menjadi rakan strategik bagi bola sepak sahaja.
“Sukan-sukan lain juga seperti sepak takraw, bola jaring dan badminton juga perlu diketengahkan dan kami dengan berbesar hati mungkin boleh membantu memperluaskan dari segi komersial sukan tersebut.

Sheikh Farouk ketika ditemui di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya pada Ahad.
“AEON BiG juga telah melebarkan sayap ke dalam komuniti bersama MBSJ dan Setiawangsa Rangers pada tahun 2023 dan kami ingin meneruskan langkah bersama komuniti mungkin dalam sukan komuniti dan wanita yang perlu diberi perhatian juga,” ujar Sheikh Farouk kepada FLASH SUKAN.
Sheikh Farouk juga menyarankan supaya gerak langkah yang dilakukan oleh pihaknya ini dapat menjadi contoh atau tauladan yang baik kepada syarikat-syarikat besar di luar bagi meningkatkan lagi mutu sukan di negara.