ISU mogok latihan membabitkan beberapa atlet pecut negara bukan sahaja mencetuskan tanda tanya, malah membuka ruang kepada pelbagai spekulasi berhubung pengurusan dan kebajikan atlet menjelang temasya Sukan SEA 2025.

Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Seri Shahidan Kassim, bagaimanapun enggan melatah, sebaliknya menegaskan pihaknya akan bertindak berdasarkan fakta sebenar tanpa menyalahkan mana-mana pihak secara semberono.

“Yang paling penting ialah fakta. Kita akan berdasarkan kepada fakta. Kebajikan atlet tidak akan diabaikan,” katanya, ketika ditemui hari ini.

Menurut beliau, satu mesyuarat Majlis (Council) akan diadakan pada 24 April ini bagi menyelami punca sebenar kemelut berkenaan, sambil menambah siasatan secara telus sedang dijalankan oleh pihaknya dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Saya tak nak jawab dengan cara yang hanya akan burukkan keadaan. Kita nak cari jalan penelesaian, bukan tambah masalah. Atlet adalah nombor satu, jadi kita kena jaga mereka.”

Beliau juga memberi jaminan bahawa latihan atlet tidak akan dihentikan, walaupun ada yang memilih untuk berlatih secara bersendirian di luar kem kebangsaan.

“Latihan mesti berterusan. Saya sedang perhatikan dan tindakan sedang diambil supaya mereka teruskan latihan walaupun tidak bersama jurulatih asal. Kita tidak mahu mereka hilang fokus.”

Memetik sumber dari Harian Metro, tindakan mogok itu dilakukan sebagai tanda protes terhadap struktur latihan serta dakwaan ketidakadilan dalam pemilihan ke kejohanan luar negara.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan persiapan ke Sukan SEA tidak terganggu, sambil menyifatkan sebarang kenyataan terbuka yang boleh mencetuskan konflik baharu perlu dielakkan.

“Kalau saya bercakap terbuka hal atlet, itu bukan untuk kebaikan. Saya tidak akan buat kenyataan hanya untuk seronok-seronok atau tambah persepsi negatif. Kita selesaikan dulu secara tertutup.”

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan atlet negara kini sedang menyertai beberapa kejohanan antarabangsa seperti di Arab Saudi, Korea Selatan dan Hong Kong, selain enam siri kejohanan Super Series dalam negara sebagai persiapan utama menjelang Sukan SEA.

Isu membabitkan atlet pecut ini dijangka menjadi topik hangat dalam mesyuarat akan datang, dengan harapan penyelesaian menang-menang dapat dicapai bagi memastikan kem olahraga negara kembali fokus dan bersatu menjelang temasya serantau itu.