SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John memberitahu bahawa pemilihan venue Piala Asia 2023 hanya akan diputuskan selepas pemantauan dibuat terhadap empat negara yang berminat menjadi tuan rumah.

Keputusan akhir tuan rumah temasya kali ini hanya akan dibuat pada 17 Oktober ini selepas melaksanakan pemantauan venue empat negara iaitu Australia, Qatar, Korea Selatan dan Indonesia.

Menurut Windsor, keutamaan pada waktu ini terarah kepada keadaan venue tersebut dan perlu mengambil kira banyak faktor sebelum ianya mencapai kata putus.

“Buat masa ini, kita akan buat bengkel dan meneliti tawaran yang dikemukakan oleh negara berkenaan. Sekarang ini mereka sedang menyiapkan buku bidaan bagi menjelaskan apa yang mereka boleh tawarkan.

Windsor Paul John

“Hujung bulan ini, kita akan hantar pasukan melawat keempat-empat negara berkenaan untuk mengesahkan adakah tawaran yang dibuat dalam buku bidaan selari atau pun tidak.

“Kemudiannya kami akan buat senarai pendek, negara mana yang berjaya mengikut kriteria sebelum barisan Exco AFC membuat ketetapan.

“Kerana kesuntukkan masa, maka exco akan pilih tawaran terbaik dan pemilihannya tidak lagi bersandarkan kepada elemen lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Korea Selatan, Australia minat bida tuan rumah Piala Asia 2023

“Harus diingat, jika negara dari Timur dipilih, tarikh pertandingan adalah pada Jun atau Julai tahun depan tetapi kalau Qatar atau Australia, tarikhnya akan dipinda ke 2024,” katanya ketika ditemui pada Kongres Tahunan FAM-58 pada Sabtu.

Ia sekaligus memberi gambaran jelas bahawa seandainya venue yang dipilih adalah dari negara Indonesia atau Korea Selatan maka ianya akan diadakan pada Jun atau Julai 2023 namun jika Australia atau Qatar dipilih maka skuad bola sepak kebangsaan mempunyai masa yang lebih lama untuk melakukan persiapan kerana ianya bakal ditunda ke tahun 2024.

Untuk rekod, Piala Asia 2023 dijadualkan berlangsung di Hangzhou, China tetapi terpaksa ditanggguhkan dan bertukar venue berikutan penularan pandemik Covid-19.