Kredit Gambar: JUNG YEON-JE/AFP

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) meluahkan rasa kecewa selepas tidak dirunding lebih awal berhubung cadangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menubuhkan FIFA Forward Enterprise (FFE), sebuah entiti komersial baharu yang bakal mengurus hak komersial Piala Dunia dan beberapa kejohanan utama lain.

Dalam satu kenyataan, AFC berkata pihaknya hanya mengetahui mengenai cadangan itu selepas pengumuman rasmi dibuat FIFA, sambil menyifatkan isu sebesar itu sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu menerusi saluran tadbir urus yang sedia ada.

Menurut AFC, sebarang inisiatif yang mampu mengubah landskap komersial dan kewangan bola sepak dunia perlu berasaskan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan serta rundingan menyeluruh dengan semua konfederasi, persatuan anggota dan pihak berkepentingan sebelum dibawa untuk kelulusan.

“AFC percaya semua pihak berkepentingan perlu diberikan maklumat yang mencukupi serta tempoh yang munasabah untuk menilai sepenuhnya cadangan itu, termasuk implikasi dari sudut tadbir urus, perundangan, komersial dan strategi,” menurut kenyataan tersebut.

AFC menegaskan proses sedemikian penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan kepentingan bersama komuniti bola sepak global serta mengukuhkan keyakinan terhadap rangka kerja tadbir urus FIFA.

Walaupun mengakui usaha mencari pendekatan baharu bagi menjana pertumbuhan bola sepak dunia adalah penting, AFC berpandangan sebarang perubahan berskala besar perlu dilaksanakan secara telus dan inklusif.

Pada Selasa, FIFA mengumumkan cadangan menubuhkan FFE sebagai anak syarikat baharu bernilai AS$20 bilion yang akan mengurus hak komersial Piala Dunia dan kejohanan antarabangsa lain.

Di bawah cadangan itu, FIFA akan mengekalkan pegangan majoriti bagi memastikan kuasa terhadap tadbir urus bola sepak, pertandingan, kalendar perlawanan serta aspek peraturan dan teknikal terus berada di bawah badan induk dunia itu.

Bagaimanapun, pegangan minoriti dijangka dijual kepada pelabur luar bagi mengumpulkan sehingga AS$4.2 bilion, dengan dana tersebut akan digunakan untuk memperkukuh pembangunan bola sepak di seluruh dunia.

Firma modal teroka dari Amerika Syarikat, Thrive Eternal, dinamakan sebagai peneraju kumpulan pelabur yang dicadangkan. Syarikat itu diasaskan Joshua Kushner, adik kepada Jared Kushner yang juga menantu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Cadangan berkenaan bagaimanapun menerima kritikan daripada beberapa badan bola sepak utama. Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menyifatkannya sebagai langkah yang melangkaui batas dan menegaskan tadbir urus serta masa depan bola sepak bukan aset yang boleh diperdagangkan.

Konfederasi Bolasepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (Concacaf) turut memaklumkan bahawa mereka tidak dimaklumkan lebih awal mengenai cadangan tersebut serta melahirkan kebimbangan terhadap kekurangan proses perundingan.

Sebarang perubahan kepada struktur berkenaan perlu mendapat kelulusan menerusi undian melibatkan kesemua 211 persatuan anggota FIFA sebelum ia dapat dilaksanakan.