Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail, mencipta sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga M Awards 2025/26, sekali gus meraih anugerah berkenaan buat kali pertama dalam kariernya.

Afiq turut melengkapkan malam gemilang apabila dipilih sebagai Pemain Tengah Terbaik, iaitu kemenangan ketiganya dalam kategori berkenaan, selepas memainkan peranan penting dalam kejayaan JDT sepanjang musim lalu.

Liga M Awards 2025/26 yang berlangsung malam ini menjadi pentas untuk mengiktiraf prestasi terbaik pemain, jurulatih, pasukan dan penyokong sepanjang kempen Liga Malaysia musim 2025/26.

Edisi kali ini turut menyaksikan perubahan nama daripada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) kepada Liga M Awards bagi memberikan penekanan yang lebih khusus terhadap pencapaian dalam saingan Liga Malaysia.

Dominasi JDT turut diteruskan apabila Xisco Munoz dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik, Syihan Hazmi Mohamed meraih Penjaga Gol Terbaik buat kali keempat berturut-turut, manakala Bergson da Silva mempertahankan gelaran Pemain Import Terbaik untuk kali keempat berturut-turut.

Syihan sekali lagi mengukuhkan statusnya sebagai penjaga gol terbaik Liga Malaysia selepas mengekalkan anugerah berkenaan untuk edisi keempat berturut-turut.

Sementara itu, Selangor FC turut mencuri perhatian apabila Quentin Cheng dipilih sebagai Pertahanan Terbaik, manakala Faisal Halim memenangi Penyerang Terbaik buat kali pertama. Faisal menampilkan prestasi konsisten bersama Gergasi Merah sepanjang musim 2025/26.

Bergson pula bukan sahaja memenangi kategori Pemain Import Terbaik, malah turut dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Liga Super, manakala Safawi Rasid dari KL City FC membawa pulang anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super.

Anugerah lain menyaksikan Haziq Kutty Abba (Penang FC) memenangi Pemain Muda Terbaik, Ramadhan Saifullah Usman (Kuching City FC) meraih Gol Terbaik Liga Malaysia 2025/26, manakala JDT dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik.

Melaka FC pula menerima Anugerah Fair Play, sementara gelaran Penyokong Terbaik menjadi milik Boys of Straits (JDT). Seramai 11 pemain pula dipilih dalam barisan Fan XI, termasuk Haziq Nadzli, James Okwuosa, Eddy Israfilov, Rodney Celvin Akwensivie, Petrus Shitembi, Danial Amier Norhisham, Afiq Fazail, Oscar Arribas, Arif Aiman Hanapi, Bergson dan Ramadhan Saifullah Usman.