YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pasangan beregu wanita negara Pearly Tan dan M. Thinaah atas kejayaan melakar sejarah menjadi beregu wanita pertama negara menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Perancis 2022, semalam.
Turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Pearly Tan dan M Thinaah atas kejayaan itu adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah menzahirkan rasa sukacita serta bangga atas kejayaan Pearly dan Thinaah sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
“Pencapaian Pearly Tan dan M. Thinaah telah sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Ianya juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan semoga pencapaian ini akan membakar semangat Pearly Tan dan M. Thinaah untuk terus berlatih dan bekerja keras untuk kejohanan-kejohanan mendatang serta menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Pearly Tan dan M. Thinaah dan mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan,” katanya.

Pearly Tan dan M. Thinaah menumbangkan juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun menerusi kemenangan 21-19, 18-21, 21-15 pada aksi yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertin.
Kemenangan itu ialah gelaran kedua dan kejayaan terbesar pasangan nombor 11 dunia itu dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia selepas menjuarai Terbuka Switzerland, Mac tahun lepas.