LATIHAN singkat bersama legenda negara, Koo Kien Keat menjadi pemangkin kebangkitan beregu profesional, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani pada Terbuka Malaysia 2026.

Sentuhan bekas beregu nombor satu dunia itu menyuntik keyakinan baharu apabila Sze Fei-Izzuddin tampil kemas dan agresif di Axiata Arena, sebentar tadi.

Hasilnya, pasangan negara menundukkan gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 21-15, 21-13 dalam masa 38 minit.

Kemenangan straight set itu turut membalas kekecewaan edisi lalu sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua.

“Kien Keat banyak membantu dari segi mental dan fokus sebelum serta semasa perlawanan, dan ia membuat kami sedar keperluan gandingan kami,” kata Sze Fei.

Izzuddin pula menyifatkan bimbingan ringkas itu memberi kejelasan dalam perancangan permainan dan cara berfikir di dalam gelanggang.

Kehadiran Kien Keat di tempat duduk jurulatih di belakang gelanggang Sze Fei-Izzuddin nampaknya memberi impak segera ketika pasangan nombor 7 dunia itu menyingkir bekas gandingan nombor 1 dunia Denmark.