LEGENDA skuasy, Datuk Nicol David bersama bekas pemain Colombia, Mariana de Reyes melancarkan Nicol David Organisation (NDO) pada Khamis.

Dinamakan Little Legends, organisasi itu berusaha untuk membina masa depan yang positif melalui program latihan skuasy secara bersubsidi dan pembelajaran bahasa Inggeris untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana antara umur 8 dan 12 tahun.

Majlis pelancaran telah diadakan di Bukit Jalil Golf & Country Resort dan berkenan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Hari ini adalah hari paling bermakna dalam hidup saya. Selepas bertungkus lumus dan merancang sejak tiga tahun yang lalu sejak persaraan, akhirnya saya dapat mengumumkan NDO telah dilancarkan secara rasmi.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong atas penghormatan ini dapat bersama-sama berkongsi hari yang mulia ini. Ia benar-benar akan menjadi saat yang saya akan hargai sentiasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Nicol mengimbas semula nostalgia ketika berusia lima tahun ketika diberi peluang terhebat dalam hidupnya bermain skuasy.

“Peluang itu mengubah hidup saya selama-lamanya kerana ia menunjukkan pentingnya kerja keras, dedikasi dan kerendahan hati. Itulah sebabnya saya percaya dengan sepenuh hati, memberi peluang kepada kanak-kanak akan mengubah masa depan mereka seperti saya.

“Matlamat saya sekarang adalah untuk mengembalikannya ke masa depan, dengan harapan mereka juga dapat mencapai impian mereka dan menjadi generasi yang memberi inspirasi kepada diri mereka, keluarga dan komuniti mereka,” katanya.

Nicol kini mengalu-alukan kehadiran 58 Little Legends yang pertama  diterima menyertai program tersebut.