KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) akan kembali mengadakan Kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun Kebangsaan pada 15-25 Jun di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Kejohanan ini dibahagikan kepada kategori lelaki dan wanita dengan 28 pasukan dari 14 negeri seluruh negara dijangka mengambil bahagian selepas dua tahun tidak diadakan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Menerusi sidang media yang diadakan, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr. Anil Jeet Singh memberitahu KHM akan menanggung semua perbelanjaan pasukan yang mengambil bahagian.

Beliau juga berharap agar persatuan hoki negeri akan menghantar pasukan kerana kejohanan ini boleh dijadikan medan untuk mencungkil bakat-bakat baharu untuk mewakili negara pada masa hadapan.

“KHM akan menanggung kesemua 28 pasukan yang dijangka bertanding. Ianya termasuk tempat tinggal, pengangkutan dan logistik untuk setiap kategori lelaki mahupun wanita.

“Kami juga berharap agar semua negeri dapat menghantar pasukan dan pasukan-pasukan remaja ini akan dipilih sendiri oleh persatuan hoki negeri masing-masing,” ujarnya.

Tambah Dr Anil, pihak KHM baharu sahaja mendapat surat pelepasan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang membenarkan kembali para pelajar untuk menyertai kejohanan domestik dengan syarat mereka telah lengkap divaksinasi dan segala SOP berkaitan pertandingan ini akan diperincikan lebih lanjut.

KHM sudah menghantar surat jemputan kepada semua persatuan negeri dan mereka hendaklah mengesahkan penyertaan selewat-lewatnya hujung bulan ini dan pihak jawatankuasa pertandingan sudah mula merancang jadual,” ujarnya kepada media.

Juara kejohanan ini akan menerima trofi dan juga saguhati daripada KHM dengan pemain yang berpotensi akan diberikan perhatian dan masa depan mereka akan diputuskan oleh badan tertinggi hoki Malaysia.