SKUAD karate negara bakal menerima sentuhan dan tentangan berprofil tinggi apabila atlet dari Amerika Syarikat dan Eropah bakal dijemput menjalani latihan bersama sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Timbalan Presiden 1 Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Vincent Chen berkata, pelan perancangan 2026 dan 2027 yang dibentangkan mendapat sokongan penuh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) sebagai projek jangka panjang memburu kilauan pingat.

Timbalan Presiden 1 MAKAF, Datuk Vincent Chen yakin pembentangan perancangan MAKAF untuk 2026-2027 memberi.mandaat kepada lebih ramai atlet karate.
“Cadangan kita (MAKAF) mendapat sokongan MSN dan ISN, jadi harapan kami adalah untuk berikan keputusan terbaik dalam Sukan Asia dan juga Sukan SEA (2027),” katanya, selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama MSN.
Menurutnya, pendekatan itu dilihat lebih efektif ketika skuad negara menjalani kem latihan prestasi tinggi akan diadakan di Bukit Jalil, dapat menjimatkan banyak kos dan memanfaatkan lebi ramai karateka negara.

Andris V Anderaon pernah menjadi ketua jurulatih karate negara. |FOTO Instagram Andris V Anderson.
“Kita tidak lagi menghantar atlet ke luar negara dalam tempoh lama, sebaliknya kita jemput mereka datang ke sini dan atlet kita boleh ‘sparring’ lebih lama menggunakan kemudahan MSN serta ISN,” katanya.
Beliau berkata, program itu akan dilaksanakan secara berfasa di bawah penyelarasan konsultan Andris V Anderson, bersama barisan teknikal termasuk Julian Chin bagi memastikan padanan kategori, berat dan kekuatan benar-benar menepati keperluan skuad.

Arif Afifuddin memenangi pingat emas acara kumite lelaki B-84kg di Sukan Asia Hangzhou.
“Andris sudah kembali sebagai konsultan untuk bantu kita dari segi pemprofilan atlet dan perancangan terperinci, manakala kontrak R Shamendran sebagai ketua jurulatih disambung hingga 2027,” katanya.
Mengulas sasaran, Vincent menjelaskan penetapan pingat akan diumumkan MSN, namun mengakui cabaran di pentas Asia cukup getir dengan penyertaan 38 daripada 45 negara sekali gus menjadikan karate antara sukan paling kompetitif.
Sebagai pemanas badan, ujian sebenar menanti di Bali menerusi Kejohanan Senior Asia Julai ini selain saingan Series A di Sepanyol sebelum skuad menjalani latihan tertutup Ogos dan September bagi ‘fine-tuning’ teknik ke tahap optimum.
“Kita akan bawa kombinasi senior dan junior berdasarkan prestasi semasa kerana fokus utama adalah siapa mampu sumbang pingat, dan saya yakin dengan sokongan MSN serta hubungan baik di peringkat Asia, kita mampu lahirkan generasi pejuang baharu untuk Malaysia,” katanya.