SAINGAN Siri Piala Presiden 2025, berakhir semalam dengan perlumbaan Siri Tiga menyaksikan pelumba basikal trek wanita negara terus menguasai Veledrom Nasional, Nilai.
Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menguasai kategori elit dan lebih menakjubkan pesaingnya tidak hanya melibatkan pelumba antarabngsa malah pelumba pelapis yang meningkat naik, Nurul Alyssa Farid.
Siri Piala Presiden juga menyaksikan skuad negara tidak akan ketandusan bakat apabila Sawda Hasbullah mempamerkan monopoli dalam kategori remaja.
Pemenang tiga pingat emas Kejohanan Berbasikal Asia ini menamatkan kempen Siri Piala Presiden dengan cemerlang apabila memenangi emas kedua dalam acara keirin pada Siri Tiga, semalam.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terus menjadi contoh buat pelumba muda negara.
Pingat emas itu adalah yang kelima dalam tiga siri Piala Presiden dan pencapaiannya itu dicipta pada usia pada 22 tahun.
Nurul Izzah mengumpul tiga pingat emas dalam acara pecut individu, dua emas dan satu perak acara keirin.
Alyssa, 19 tahun, berjaya memenangi dua pingat dalam kategori elit, iaitu gangsa pecut individu dalam Siri Pertama dan gangsa keirin dalam Siri Kedua.
Sementara itu, Sawda, 17 tahun, menunjukkan prestasi luar biasa dengan merangkul enam pingat emas daripada acara keirin dan pecut junior dalam ketiga-tiga siri tersebut.

Nurul Alyssa Farid berusaha mengejar prestasi Nurul Izzah Izzati.
“Saya berharap lebih ramai atlet baru dapat muncul. Alyssa telah menunjukkan prestasi yang baik dengan mencabar saya. Ini membuktikan bahawa saya tidak boleh berada dalam zon selesa. Kita semua perlu berkembang bersama, dan kami akan berjuang untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Saya bersedia untuk membantu mereka. Semasa perlumbaan, mungkin saya tidak dapat membantu banyak, tetapi saya boleh membantu mereka membuat persiapan mental sebelum perlumbaan dan memberi motivasi kepada mereka,” kata Izzah selepas perlumbaan.
Mengulas mengenai kemenangan keduanya dalam acara keirin, Izzah menyatakan kegembiraannya dapat merampas kembali pingat emas keirin daripada pelumba Korea Selatan, Kim Ha Eun, yang telah mengalahkannya pada Siri Kedua Piala Presiden minggu lalu.

Sawda Hasbullah memonopoli acara pecut individu dan keirin remaja wanita.
“Perlumbaan hari ini lebih mencabar. Dalam Siri Kedua, terdapat tiga pelumba Korea Selatan, dua pelumba Malaysia, dan seorang pelumba Surinam di final, dan saya belajar banyak daripada perlumbaan itu.
“Dalam perlumbaan kali ini, ia lebih sukar kerana terdapat empat pelumba Korea Selatan dan dua pelumba Malaysia.
“Sememangnya ada rasa bimbang mengenai kemungkinan terjatuh. Saya mengambil iktibar daripada kesilapan lalu, merancang perlumbaan dengan baik bersama jurulatih, dan akhirnya kami berjaya memenangi perlumbaan,” kata pelumba asal Kedah.