PETINJU negara Muhamad Farkhan Mohd Haron mahu akhiri dengan ‘tarian’ di gelanggang tinju profesional dengan kemenangan pada WBC Asia Bridgerweight Championship di Kejohanan Antarabangsa Tinju Johor (JIBC) 2025, 16 Februari ini.

Begitulah tekad Farkhan yang mahu menutup karier tinju selepas dua dekad membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.

Pemilik gelaran Farkhan ‘The Southern Tiger’ Haron kini berusia 36 tahun berkata, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk bertarung dengan Jaskaran Singh dari India demi mengekalkan rekod sempurnanya dengan 13 kemenangan tanpa kalah.

“Api kemarahan penting untuk mencapai kemenangan, tetapi kita tidak boleh terlalu dikuasai emosi. Kita perlu keseimbangan 50-50 ketika berada dalam gelanggang.

“Jangan terlalu yakin kerana boleh menjadi musuh dalam selimut. Sebab itu, tiga hingga lima hari sebelum pertandingan, saya tidak keluar bertemu sesiapa, termasuk keluarga, untuk menjaga kestabilan emosi,” katanya, dalam sidang media JIBC 2025 di sini, hari ini.

Mengulas mengenai lawan bakal ditentangmya, Muhamad Farkhan sedar Jaskaran masih muda dan memiliki kelebihan dari segi ketinggian, pengalaman namun dia memiliki pengalaman selama 24 tahun dalam sukan tinju, memberikannya keyakinan untuk sekali lagi melakar kejutan.

Muhamad Farkhan mencipta nama dalam arena tinju antarabangsa seawal usia 16 tahun ketika membawa pulang pingat perak di New Delhi, India bermula dengan kategori lightweight kemudiannya beralih ke kategori heavyweight dan cruiserweight.

“Bapa saya juga menjadi inspirasi terbesar saya. Ketika berusia 16 tahun, beliau meminta saya ke Indonesia bersendirian untuk menyertai kejohanan. Pengalaman itu membentuk siapa saya hari ini,” katanya.

JIBC 2025 merupakan kejohanan tinju bertaraf antarabangsa hasil kerjasama Kerajaan Negeri Johor, FH Promotions, dan Johor Boxing Association, dengan Malaysia Professional Boxing Federation (MPBF) dan World Boxing Council (WBC) sebagai badan yang memberi pengiktirafan.

Sebanyak lima perlawanan berprofil tinggi (Fight Card) akan berlangsung, melibatkan penyertaan lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, India, Syria, Singapura, dan Afrika Selatan.