SEDAR kehadirannya dalam skuad senior bukan sekadar pelengkap, perseorangan wanita negara, Siti Zulaikha Azmi mengakui tanggungjawabnya semakin besar menjelang kempen Piala Uber tahun depan.

Pengalaman beraksi di Sukan SEA Thailand menjadi titik penting buat Zulaikha apabila dia belajar erti tekanan sebenar, terutama apabila diletakkan di posisi perseorangan ketiga yang sering menjadi penentu menang kalah pasukan wanita.

Menutup tirai 2025, Zulaikha menyifatkan prestasinya berada di landasan tepat apabila berkata, “saya rasa agak puas hatilah dengan prestasi tahun ini, boleh dikira puas hati jugalah.”

Pemain muda itu turut tersenyum bangga apabila sasaran peribadinya tercapai selepas menembusi kelompok 100 terbaik dunia dengan mengakui, “saya nak dapat top 100 dan Alhamdulillah saya dapat naik ke ranking 90.”

Menurut Zulaikha, peningkatan prestasinya turut dipacu kehadiran jurulatih baharu bermula dengan pengarah kejurulatihan peraeorangan, Kenneth Jonassen dan Iskandar Zulkarnain yang disifatkan banyak membantu dari segi disiplin dan banyak benda-benda baru lain.

Selepas mengharungi beberapa perlawanan di peringkat senior, Zulaikha, 19, mengakui cabarannya lebih besar tetapi sarat dengan pengajaran apabila berkata, “dapat banyak bersaing dengan pemain yang lebih bagus dan mendapat lebih banyak pengalaman.”

Sukan SEA kekal sebagai memori paling berharga buatnya apabila mengimbas, “itu kali pertama saya bermain senior yang lebih mencabar (deciding) dan banyak benda yang saya belajar.”

Menjelang tahun depan dengan Piala Uber (April) di Forum Horsens, Denmark sebagai antara tumpuan, Zulaikha sedar peranannya mungkin kritikal dan dia perlu bersedia dengan baik.