SUKAN futsal dan bola sepak pantai negara dikejutkan dengan dakwaan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan tiga kejohanan utama yang dijadual berlangsung pada tahun 2026.
Perkara itu timbul susulan tularnya foto petikan surat pekeliling badan induk berkenaan yang memaklumkan pembatalan tiga pertandingan besar.
Tiga kejohanan yang didakwa terjejas ialah Malaysia Futsal Cup (MFC), Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan dan Kejohanan Bolasepak Pantai Kebangsaan.
Sekiranya dakwaan tersebut benar, pembatalan Malaysia Futsal Cup dan Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan dilihat sebagai satu tamparan besar kepada pembangunan futsal negara yang sebelum ini menunjukkan perkembangan positif.
Malaysia Futsal Cup menjadi platform penting kepada pasukan-pasukan futsal tempatan untuk bersaing secara kompetitif di peringkat kebangsaan, selain membuka ruang kepada pemain menyerlahkan kemampuan masing-masing.

Dalam masa sama, Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan memainkan peranan signifikan dalam mencungkil bakat baharu dan menyediakan laluan pembangunan kepada pemain muda sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi.
Keberkesanan kejohanan itu terbukti apabila skuad futsal Bawah 19 tahun negara berjaya meraih tempat ketiga pada saingan ASEAN Futsal Cup B-19, sekali gus memberi gambaran bahawa program pembangunan sedia ada berada di landasan tepat.
Sementara itu, Kejohanan Bolasepak Pantai Kebangsaan turut menjadi pentas penting dalam memastikan kesinambungan bakat serta daya saing sukan berkenaan yang semakin mendapat perhatian di peringkat serantau.
Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh FAM bagi mengesahkan atau menafikan dakwaan berhubung pembatalan tiga kejohanan berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penggiat dan penyokong sukan tanah air.