PELUMBA pasukan Brothers7 Tech Racing, Muhd Aiman Hafiz menjadikan pelumba sensasi negara Hafizh Syahrin Abdullah sebagai idolanya.

Menurut pelumba muda berusia 17 tahun itu, Hafizh Syahrin merupakan sosok yang menjadi contoh dan idola buat dirinya dalam meneruskan kerjaya di arena sukan permotoran.

Aiman yang bakal beraksi di pentas Kejuaraan Petronas Cub Prix 2024 dalam kategori Wira KBS berazam untuk menjadi seorang pelumba motosikal elit satu hari nanti.

Khabarnya, sejak di usia lima tahun lagi Aiman sudah berjinak-jinak dalam bidang permotoran dan ditambah dengan melihat kejayaan Hafizh, ianya menjadi satu pedoman buat Aiman agar menjadi seorang pelumba berjaya suatu hati nanti.

“Hafizh Syahrin idola saya kerana dia juga berjaya meletakkan nama sukan permotoran Malaysia di persada dunia.

Tiga pelumba Brothers7 Tech Racing diumum pada Sabtu lalu.

“Saya mahu ikut jejak langkahnya supaya jadi seperti dia (Hafizh). Jika ada peluang, saya juga berimpian untuk berlumba dengannya suatu hari kelak.

“Menjadi pelumba motosikal adalah cita-cita saya sejak kecil namun sasaran saya setakat ini hanya sampai di kelas CP150,” kata Aiman kepada FLASH SUKAN.

Anak kelahiran Perak ini turut menambah bahawa sokongan ibu bapa dan keluarga juga merupakan salah satu pendorong buat dirinya untuk mengejar cita-cita.

“Oleh kerana ini impian saya sejak kecil, ibu bapa saya juga menurut karenah saya dengan redha. Mereka hanya berpesan supaya saya tidak menghancurkan harapan mereka dan terus melakukan perkara yang saya minat dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Selain mengejar cita-cita sebagai seorang pelumba handal, Aiman juga akui bahawa dirinya perlu fokus terhadap pelajaran, tambahan pula tahun ini, dia bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Artikel Berkaitan: Cub Prix 2024: Brothers7 Tech Racing guna bakat pelumba muda dalam CP125