PERTEMBUNGAN adik-beradik buat kali pertama di pentas skuasy antarabangsa, nampaknya dikuasai ‘si’ adik, apabila Aira Azman menyingkir kakaknya Aifa pada pusingan kedua Terbuka Australia hari ini.
Perlawanan yang menjadi tumpuan di University of Sydney itu menyaksikan Aira, bermula garang bertemu Aifa yang juga pilihan keenam, apabila memenangi dua set awal 11-9, 11-2.
Aifa bangkit merampas set ketiga 11-8, sebelum tunduk 3-11 pada set keempat dalam masa 26 minit.
“Perlawanan hari ini agal emosional kerana saya menentang kakak buat kali pertama… kami menjalani latihan bersama sejak kecil lagi dan saya agak emosi kerana mengatasinya.
“Saya bermain dengan baik hari ini dalam masa sama, saya tidak fikir dia memberikan 100 peratus.
“Corak permainan kmai agak sama, tetapi hari ini, saya mengubah game plan dalam usaha memberi kesukaran kepadanya,” kata Aira, selepas tamat perlawanan.
Kemenangan itu membawa Aira kepada aksi suku akhir, menentang pilihan utama kejohanan, Salma Hany yang jua pemain ranking ke-11 dunia.
Turut mara ke suku akhir, dua lagi pemain negara, Rachel Arnold dan Chan Yiwen.
Rachel, pilihan ketiga kejohanan mengatasi pemnain Hong Kong Cheng Nga Ching 11-7, 11-8, 12-10, akan berdepan seorang lagi pemain Mesir, Sana Ibrahim.
Manakala Yiwen mengejutkan pilihan ketujuh dari Hong Kong, Lee Ka Yi dalam pertarungan lima set, 11-9, 13-15, 4-11, 11-6, 11-9 dalam masa 48 minit, untuk berdepan pilihan keempat dari Hong Kong, Tomato Ho.