PUTERI skuasy negara, Aira Azman meneruskan kecemerlangan tahun ini apabila melangkah ke final Trofi Tunku Mukhriz 2023, sekali gus berpeluang mempertahan kejuaraan dimenangi tahun lalu.
Namun menantinya di final pada Ahad, bukan calang-calang lawan, iaitu rakan senegara dan juga pemain senior, S Sivasangari.
Terdahulu, Aira yang kini melonjak ke ranking ke-60 dunia, mempamerkan persembahan bertenaga ketika menewaskan pemain senior, Ainaa Amani Ampandi 3-1 di separuh akhir.
Pemain kelahiran Kedah itu tewas 10-12 pada set pertama bangkit memenangi pertarungan berlangsung selama 34 minit dengan kemenangan 11-6, 11-7, 11-8.

Ainaa Amani Ampandi gagal menyaingi rentak pantas Aira Azman.
Airaa, bakal mencecah usia 19 tahun hujung September depan, masih segar dengan kejayaan muncul naib juara Kejohanan Skuasy Remaja Dunia dan juara bawah 19 tahun Kejohanan Remaja Asia baru-baru ini, pastinya mahu memastikan trofi Tunku Mukriz miliknya, namun Sivasangari pasti tidak akan menyerah kalah dan mahu statusnya sebagai pemain utama negara terus kekal.
Sangari, 24, melangkah ke final pertamanya di kejohanan Trofi Tunku Mukhriz apabila menewaskan pemain Mesir, Nour Heikal 11-3, 11-6, 11-4, dalam aksi di Kompleks Sukan Tan Sri Dato Haji Mohamad Said, Seremban, Negeri Sembilan.

S Sivasangari kini di ranking ke-49 dunia, pasti mahu mengembalikan statusnya sebagai pemain nombor satu negara dengan merangkul kejuaraan Trofi Tunku Mukhriz 2023.
Sivasangari sudah melaungkan amaran untuk merebut Trofi Tunku Mukhriz 2023, sebagai pengubat duka tidak menyertai kejohanan itu tahun lalu kerana menjalani proses pemulihan daripada kemalangan jalan raya.
Malah, dia mahukan kejuaraan selepas gagal merangkulnya pada Kejohanan Skuasy Asia di Hong Kong, Jun lalu.
“Saya rasa saya sedikit tergopoh-gapah dalam melakukan pukulan, tetapi saya lega dapat menamatkan perlawanan pada hari ini dengan keputusan 3-0.

Ivan Yuen (kanan) gagal lolos ke final Trofi Tunku Mukhriz 2023.
“Jika saya memberikan ruang kepada pemain ini (Nour Heikal) bangkit, dia akan mempunyai keyakinan dan keputusan akan jadi berlainan.
“Saya rasa sangat bagus apabila dapat layak semula ke final selepas sekian lama dan saya perlu memberikan tumpuan semula kerana bakal berhadapan dengan rakan senegara saya esok.
“Saya mahukan kejuaraan ini kerana ia akan membantu banyak dari segi pungutan mata ranking, kerana saya sedang cuba memperbaiki kedudukan saya. Saya mahu kembali bersaing di kejohanan utama semula,” kata Sivasangari.

Kegagalan Addeen Idrakie(kiri) ke final menyaksikan tiada wakil lelaki negara di final Trofi Tunku Mukhriz 2023.
Dalam pada itu, aksi lelaki pula menyaksikan cabaran Malaysia berakhir setelah dua wakil negara tewas kepada lawan masing-masing.
Ivan Yuen yang turun sebagai naib juara edisi lalu tumpas kepada pilihan kelapan kejohanan dari Mesir, Alu Hussein dengan keputusan 5-11, 7-11, 5-7.
Rakan senegara, Addeen Idrakie turut menerima nasib yang sama apabila tunduk kepada pemain Pakistan, Muhammad Asim Khan sebelum akur dengan keputusan 15-17, 11-8, 7-11, 8-11.