AKADEMI Tunas National Football Development Program (NFDP) Seberang Perai Utara 2 meraih kejuaraan dalam Kejohanan Bola Sepak Yakult Piala Global 2023 di Serimas Sportplex, Nilai pada Sabtu lalu.

Kejohanan yang telah melibatkan 16 pasukan terbaik dari seluruh Malaysia telah dipilih melalui proses saringan di setiap pelosok zon negara.

Ketua pasukan Akademi Tunas NFDP Seberang Perai Utara 2, Anas Sufiyan Mohd Arif meluahkan rasa teruja dan kegembiraannya apabila berjaya menewaskan pasukan AT Sentul dalam aksi tersebut.

Anas yang berusia 12 tahun menyatakan bahawa pasukan mereka telah berusaha keras selepas mendapat tempat ketiga di zon awal, tekad untuk mencapai matlamat bagi menjuarai perlawanan kali ini.

Pemain itu turut berkongsi cita-citanya untuk menjadi sebahagian daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan mendorong untuk menjadi pemain bola sepak terbaik negara.

Sementara itu, Kejohanan Bola Sepak Yakult Piala Global ini telah bermula pada tahun 2019 namun ianya terpaksa dihentikan pada tahun 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19 serta telah diteruskan pada tahun berikutnya.

Kejohanan yang sejajar dengan falsafah korporat Yakult untuk memberi kesedaran tentang kesihatan kepada orang ramai ini sekaligus ingin mencungkil bakat-bakat cilik dalam setiap perlawanan yang dianjurkan.

Jelas bahawa matlamat utama kejohanan ini adalah untuk membuka ruang kepada bakat-bakat muda tempatan supaya bersaing dalam pertandingan bola sepak pada peringkat umur 12 tahun lagi.