BIRO Majlis FIFA telah memutuskan untuk melantik sebuah jawatankuasa normalisasi bagi Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD) berdasarkan Artikel 8 perenggan 2 dalam Statut FIFA.

Keputusan dibuat selepas perbincangan bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), sekali gus membuka jalan kepada usaha mengembalikan kestabilan dalam landskap bola sepak Brunei.

Jawatankuasa Normalisasi ini akan memikul tanggungjawab besar merangkumi pengurusan hal ehwal harian FABD, menyemak semula statut serta kod pemilihan, selain mengendalikan proses pilihan raya baharu bagi memilih barisan kepimpinan eksekutif.

Langkah tersebut diambil selepas beberapa tahun FABD berdepan pertukaran kepimpinan dan gangguan pentadbiran, yang menjejaskan hala tuju bola sepak negara itu termasuk pelan pembangunan bola sepak wanita. FIFA menegaskan jawatankuasa ini penting untuk memastikan pemilihan masa depan dapat dijalankan secara adil, telus dan kredibel.

Menurut kenyataan rasmi, jumlah ahli jawatankuasa akan ditentukan oleh FIFA dan AFC dalam masa terdekat dengan setiap calon diwajibkan melalui proses semakan kelayakan oleh Jawatankuasa Semakan FIFA selaras dengan peraturan tadbir urus badan dunia itu.

Tempoh mandat jawatankuasa tersebut ditetapkan sehingga semua tugas selesai, namun tidak melebihi 30 Jun 2026, menjadikannya tempoh kritikal untuk memulihkan kembali kredibiliti bola sepak Brunei di peringkat rantau dan dunia.