IMPIAN Kelantan The Real Warriors FC untuk membawa bekalan selesa ke aksi timbal balik Piala Malaysia tidak kesampaian apabila sedikit kelekaan di penghujung perlawanan membuka ruang buat Selangor FC meraih kemenangan dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik.

Skuad Pantai Timur itu sebenarnya bermula cemerlang apabila mendahului permainan hasil jaringan Simen Lyngbo pada separuh masa pertama, namun kelebihan tersebut gagal dipertahankan apabila Selangor bangkit lebih agresif pada babak kedua.

Dua gerakan pantas pelawat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim yang muncul wira dengan dua gol, sekali gus mengubah landskap perlawanan.

Pengendali KTRW FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengakui mutu lawan yang dibarisi pemain import dan tempatan berkualiti menuntut fokus tinggi sepanjang 90 minit, namun pasukannya terlepas tumpuan ketika saat genting.

“Bagi saya, kita menentang pemain import dan tempatan yang berkualiti. Jadi, saya rasa kita telah memberikan saingan yang cukup baik. Kita menjaringkan gol pada babak pertama,” katanya, sambil menambah bahawa beliau sudah menjangka Selangor akan tampil lebih menyerang selepas rehat.

Menurut bekas penyerang kebangsaan itu, kegagalan mengekalkan disiplin permainan pada separuh masa kedua menjadi titik perubahan.

“Dan kita tahu pada separuh masa kedua, mereka akan datang (menyerang) dan itu yang berlaku. Sedikit kelekaan membawa kepada dua gol buat pasukan Selangor dan itu harus diperbaiki segera sebelum pertemuan kedua nanti,” jelasnya.

Akmal Rizal bagaimanapun tetap optimis KTRW FC mampu bangkit dalam aksi timbal balik di Stadium MBPJ pada 23 Januari, dengan keazaman untuk memperkemaskan fokus dan disiplin demi memburu tiket ke suku akhir Piala Malaysia.