KEJOHANAN Masters Indonesia bermula esok dijadikan medan pembelajaran penting buat K Letshanaa dan Wong Ling Ching, apabila kem wanita negara tidak meletakkan sasaran keputusan tinggi di kejohanan bertaraf Super 500 itu.
Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, menegaskan kejohanan berkenaan lebih kepada proses pembelajaran berbanding kempen memburu kemenangan.
Pemain nombor 42 dunia, Letshanaa dan pemain ke-43 dunia, Ling Ching layak beraksi di kejohanan bertaraf Super 500 itu, namun fokus utama adalah mengutip pengalaman berharga menjelang Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) dan Piala Uber.
Iskandar menjelaskan kedua-dua pemain bakal menggalas peranan penting dalam skuad muda Malaysia di BATC di Qingdao, China, dari 3 hingga 8 Februari depan.
Menurutnya, Masters Indonesia menjadi platform terbaik untuk menguji sejauh mana latihan dapat diterjemahkan dalam suasana pertandingan sebenar, khususnya di Istora Senayan yang terkenal dengan tekanan hebat.
Letshanaa pernah mara ke pusingan kedua edisi lalu selepas melalui kelayakan, manakala Ling Ching pula bakal membuat penampilan sulung di kejohanan Super 500 dan diharap mampu menembusi undian utama.
“Ini kejohanan untuk belajar, menyesuaikan diri dan memahami tuntutan sebenar di tahap ini, terutama dari segi fizikal dan mental,” kata Iskandar.
Letshanaa akan membuka kempen menentang pemain Taiwan, Hsu Wen Chi di pusingan pertama, namun Ling Ching perlu mengharungi ranjau pusingan kelayakan sebelum ke undian utama.