PENANG FC II terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam saingan Piala MFL dengan mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada Isnin. 

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh penyerang muda Penang FC II, Muhammad Akid Mohd Zamri, yang menjaringkan gol seawal minit ke-12 untuk memastikan tiga mata penuh buat pasukannya.

Kemenangan ini menyaksikan Penang FC II melanjutkan rentak kemenangan mereka kepada empat perlawanan berturut-turut, menunjukkan semangat juang yang tinggi dari seluruh pasukan.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli puas aksi pemain Penang FC II.

Ketua jurulatih Penang FC II, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, meluahkan rasa puas hati dengan prestasi pemainnya dan memuji mereka atas komitmen dan momentum positif yang dibawa sepanjang perlawanan.

“Alhamdulillah, momentum pasukan kini berada pada tahap terbaik, semua pemain ingin bermain dan ingin menang.

“Apabila kita menang dari satu perlawanan ke satu perlawanan, momentum kemenangan itu ada dalam diri setiap pemain dan itu yang dilakukan dalam perlawanan ini,” katanya selepas perlawanan.

Menurut Akmal lagi, walaupun berdepan cabaran dalam separuh masa kedua, di mana mereka sedikit tertekan dan mengalami sedikit kekacauan di bahagian pertahanan, pasukan Penang FC II tetap berjaya berjaya bertahan dengan baik sehingga tamat perlawanan.

“Nampak kita mengawal sepenuhnya permainan separuh masa pertama tetapi untuk separuh masa kedua kita memberi tekanan kepada diri sendiri itu yang nampak agak kelam kabut sedikit.

“Untuk 15 minit terakhir kita mencipta banyak tetapi tidak gagal untuk menghasilkan jaringan, apa pun yang paling penting kita mendapatkan tiga mata,” katanya lagi.

Akmal juga turut mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain dari skuad Liga Super yang telah membantu memberi panduan kepada pemain muda, dan berharap momentum kemenangan ini dapat diteruskan sehingga hujung musim.

“Terima kasih kepada pemain Liga Super juga Nik Akif, Richmond, Izzat yang datang membantu membimbing pemain muda kami.

“Alhamdulillah dan kita harap momentum ini dapat diteruskan untuk baki musim yang seterusnya,” tambah Akmal.

Penang FC II kini bersedia untuk menghadapi cabaran seterusnya apabila mereka akan bertemu Sabah FC II pada 17 Februari 2025 di Stadium Likas, dengan harapan untuk terus mengekalkan rekod kemenangan mereka.