PELUMBA basikal trek negara, Ridwan Sahrom, bertekad untuk mencipta nama dalam acara pecut individu, sekali gus memecah tradisi Malaysia yang dikenali melahirkan pelumba keirin yang hebat seperti Josiah Ng, Azizulhasni Awang, dan abangnya, Muhammad Shah Firdaus.

Ridwan, 23, berkata, dia mahu mencabar dirinya dalam laluan yang berbeza dan meningkatkan kebolehannya dalam acara pecut individu.

“Saya sangat menggemari acara pecut individu kerana melibatkan pertandingan satu lawan satu, pelumba benar-benar dapat menunjukkan kemampuan sejati,” kata Ridwan baru-baru ini.

Ridwan (hitam) mempamerkan kemahiran bersaing dengan Fadhil dalam acara pecut individu, pada kempen Siri Piala Presiden.

Ridwan ternyata memiliki pemikiran seorang juara, dan memahami kekuatan dirinya.

“Untuk keirin, kita telah melahirkan pelumba yang hebat seperti Azizulhasni dan Shah. Saya berharap untuk mencipta sesuatu yang serupa dalam acara pecut individu. Saya ingin lakukan sesuatu yang berbeza.

“Ia adalah acara yang lebih sukar, terutamanya di peringkat dunia, kerana pelumba lain (terutamanya dari Eropah) lebih besar secara fizikal. Persaingan sangat sengit.

“Tetapi ini adalah peluang untuk saya mencabar diri sendiri dan melihat sejauh mana saya boleh pergi.”

Pelumba yang lebih besar dan kuat secara tradisinya cemerlang dalam acara pecut individu kerana mereka perlu menghasilkan kuasa sendiri tanpa banyak peluang untuk mengekori lawan.

Ridwan telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam acara pecut individu di Siri Piala Presiden yang sedang berlangsung, meraih gangsa dalam Siri Pertama dan emas pada Siri Kedua.

Siri Piala Presiden yang berlangsung di Velodrom Nasional di Nilai terdiri daripada Siri Pertama (14-15 Jan), Siri Kedua (18-19 Jan), dan Siri Ketiga (22-23 Jan).

Ridwan, dengan ketinggian 1.81 meter, satu sentimeter lebih tinggi daripada abangnya Shah, 29, namun dia kini tidak ketinggalan terlalu jauh dari angka maksimum kuasa abangnya.

“Pada masa ini, kuasa maksimum saya sekitar 2,100 watt, dan saya mahu mengekalkannya buat sementara waktu.

“Namun, berat saya sedikit meningkat kepada 90 kilogram kerana kami sedang membina kekuatan untuk Kejohanan Asia bulan depan. Saya akan cuba menurunkan satu atau dua kilogram untuk meningkatkan nisbah kuasa kepada berat badan.”

Ridwan kini bersaing dengan Fadhil Zonis untuk slot kedua dalam pasukan kebangsaan, di belakang Shah, menjelang Kejohanan Asia yang turut akan diadakan di Nilai dari 21-27 Februari depan.

Slot ini terbuka kerana Azizulhasni sedang menumpukan perhatian untuk menyelesaikan pengajiannya dan dijangka tidak kembali ke aksi kompetitif dalam masa terdekat.