SEBELUM ini tidak banyak kelab mahupun penyokong membuka mata mahu beraksi di peringkat Asia tetapi segalanya berubah setelah Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala AFC pada 2015.

Sejak itu semakin ramai pemerhati bola sepak dan penyokong yang mula cakna tentang kepentingan beraksi di Asia kerana ia akan membantu menaikkan ranking Malaysia dalam bola sepak Asia.

JDT konsisten memungut mata demi mata buat Malaysia sejak 2015 dan kini tahun 2022 menjadi tahun terbaik buat kelab-kelab tempatan memberikan mata MA Malaysia.

Kedudukan Semasa MA Malaysia kemaskini 22 Oktober 2022.

Kecemerlangan tiga kelab Malaysia yang beraksi di peringkat Asia nyata membantu MA Malaysia sehingga kini Malaysia menduduki tangga keempat Asia Timur dan berjaya mendapatkan 2+2 slot ke Liga Juara-Juara AFC musim 2024-2025.

Menurut laman web Footy Ranking, kelab Malaysia berjaya memungut 31.750 mata MA untuk jumlah 51.837 mata keseluruhan dengan JDT yang mencipta kejutan layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC memungut 16.00 mata.

Kecemerlangan JDT turut diikuti oleh Kuala Lumpur City FC yang berjaya layak ke perlawanan akhir Piala AFC dan memungut 10.84 mata manakala Kedah Darul Aman FC menambah 3.76 mata buat Malaysia.

Dengan semakin banyak kelab tempatan berpeluang beraksi di Asia, kesemua pasukan kini perlu meningkatkan prestasi dan menambah baik fasiliti bagi memastikan ianya menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kejayaan kelab-kelab ini juga membuktikan kelab tempatan mampu untuk bersaing di peringkat Asia jika memberikan penekanan dan keutamaan serta melakukan persiapan yang tepat.