KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim, Xisco Munoz masih percaya peluang pasukannya belum tertutup meskipun tewas 1-3 kepada Buriram United dalam aksi separuh akhir pertama ACC Shopee Cup di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Pengendali dari Sepanyol itu mengakui keputusan tersebut mengecewakan, lebih-lebih lagi selepas Harimau Selatan menguasai sebahagian besar permainan menerusi penguasaan bola hampir 70 peratus.
Menurutnya, JDT cuba mengawal tempo permainan dan menggerakkan bola dengan baik, namun lawan lebih berkesan memanfaatkan peluang yang dimiliki.
“Kami hanya boleh memohon maaf kepada para penyokong. Kami cuba mengawal permainan dan menggerakkan bola dari satu sisi ke sisi lain, tetapi pada akhirnya bola sepak adalah tentang siapa yang lebih berupaya untuk menjaringkan gol,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Pengendali Johor Darul Ta’zim FC, Xisco Munoz
Munoz turut mengakui terdapat kelemahan di benteng pertahanan pasukan, namun enggan menuding jari kepada mana-mana pemain.
Sebaliknya, beliau menyifatkan gol yang dibolosi berpunca daripada kesilapan secara kolektif sepanjang perlawanan.
Walaupun ketinggalan dua gol secara agregat, Munoz menegaskan saingan masih terbuka menjelang aksi timbal balik di Thailand.
“Kita perlu percaya pada diri sendiri dan teruskan berusaha. Kita berjuang untuk pasukan dan cita-cita kita. Kita akan ke sana dan cuba mengubah situasi.
“Saya percaya akan perkara itu. Kita mesti menganalisis segala-galanya dan fokus pada bagaimana kita boleh menangani situasi ini,” katanya lagi.
JDT kini perlu memburu kemenangan besar pada aksi timbal balik di gelanggang Buriram bagi menghidupkan peluang mara ke final kejohanan kelab Asia Tenggara itu.