
Aksi di Cheras diwarnai kad kuning, Harimau Kumbang bangkit ikat tuan rumah

PENANG FC berjaya meranapkan impian KL City FC untuk mengutip tiga mata penuh apabila berjaya mengikat tuan rumah 2-2 dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Penyerang Kuala Lumpur City FC Paulo Josue yang turun pertama kali sebagai pemain naturalisasi berjaya menjaringkan dua gol sekaligus menceriakan penyokong tuan rumah dengan kemenangan pertama dalam aksi Liga Super musim ini.
Josue membuka jaringan pertama meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-14 dengan menewaskan penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi.
Bagaikan dirasuk, KL City FC terus mempamerkan aksi bertenaga dengan beberapa percubaan merbahaya ke kubu pelawat termasuk sepakan half volley namun sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Penang FC.
Perlawanan turut dicemari beberapa insiden kekasaran sekaligus menyaksikan Anwar Ibrahim dilayangkan kad kuning kerana mengasari Muhammad Hadin Azman pada minit ke-36 perlawanan.
Josue sekali lagi hampir menambah derita Harimau Kumbang dengan rembatan kencang menerusi sepakan percuma namun berjaya ditepis penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi.
Biarpun ketinggalan, Muhamad Azmeer Aris Nor terus mengasak kubu tuan rumah serta hampir berjaya menembusi gol KL City FC namun penjaga gol The City Boys, Kevin Ray Mendoza cemerlang menggagalkan dua rembatan deras pelawat.
Sebaik babak kedua bermula, KL City terus mengasak kubu pelawat dengan larian deras Paulo Josue dibentes keras Ousmane Fane.
Percakaran tersebut berterusan apabila Ousmane Fane sekali lagi melakukan kekasaran terhadap Josue sekaligus menyaksikan aksi tegang menyebabkan Ousmane dilayangkan kad kuning pada minit ke-55.
Tiga minit berselang, Namathevan dilayangkan kad kuning kedua sekaligus menerima layangan kad merah setelah melakukan terjahan keras terhadap Paulo Josue.
Kemasukan Muhammad Haqimi Azim Rosli pada minit ke-61 menggantikan Muhammad Anwar Ibrahim jelas membuktikan kemampuannya sebagai penyerang berkualiti apabila berjaya melakukan hantaran merbahaya namun gagal disempurnakan Romel Morales.
Minit ke-65, Haqimi Azim sekali lagi mempunyai peluang terbaik menggandakan kelebihan tuan rumah dengan rembatan kencangnya namun ditepis kemas penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi.
Josue menambah derita pelawat dengan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-71 sekaligus meletakkan KL City FC selesa mendahului 2-0.
Enggan mengalah, Harimau Kumbang kembali bangkit menerusi gol jaringan Muhammad Hadin Azman setelah Josue melakukan kesilapan di hadapan pintu gol lawan.
Comeback is real apabila Harimau Kumbang berjaya mengikat kedudukan dengan jaringan penyamaan 2-2 pada penghujung perlawanan dengan Gomes Da Silva Giovane berjaya menanduk kemas sekaligus menceriakan kem pelawat.
Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan KL City FC sekadar seri 2-2 dengan Penang FC sekaligus berkongsi mata pada perlawanan pembukaan Liga Super.