DUA pemain UiTM United iaitu Zikry Mohd Hafis dan Pengiran Mohd Ilham Ag Jumahat telah dipilih untuk ke England bagi menjalani latihan bersama pasukan Wolverhamptom Wanderes FC (Wolves) iaitu kelab di bawah Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sesi latihan dan program ‘Dare to Dream’ anjuran MBSB Bank itu akan berlangsung pada tahun hadapan sekali gus membuahkan rasa semangat dan gembira dalam kalangan pemain muda yang terpilih terutama dua wakil dari pasukan UiTM United.
Zikry yang merupakan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) meluahkan bahawa dia tidak menjangka dirinya mempunyai peluang untuk bermain bersama kelab EPL sekali gus berterima kasih kepada pihak MBSB Bank yang membuka jalan untuk mewakili pasukannya.
“Saya menganggap bahawa program seperti ini adalah amat bagus untuk pemain muda di Malaysia mengembangkan lagi bakat sedia ada kerana jika ianya diadakan pada setiap tahun, pasti mereka akan bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan tempat dalam program akan datang.
“Kita dapat melihat persaingan secara sihat antara pemain walaupun segelintir di antara mereka berstatus pelajar. Walhal status itu tidak menjadi bebanan dan mendatangkan masalah kepada pemain kerana bola sepak merupakan minat kami.
“Oleh itu, dengan kepercayaan yang diberikan saya akan cuba buat sehabis baik dan membuktikan kemampuan saya di England nanti. Bahkan untuk di masa hadapan, saya berharap ada rezeki saya dalam dunia bola sepak profesional,” ujar Zikry kepada FLASH SUKAN.
Sementara itu, Pengiran Ilham juga menumpang impian yang sama dengan rakan pasukannya, Zikry serta berharap dapat menimba ilmu sebanyak mungkin semasa berada di England nanti.
“Saya akan sentiasa mengingati pesanan jurulatih yang bertungkus lumus memastikan kami mendapat kejayaan yang cemerlang di setiap perlawanan yang dihadapi.
“Kegembiraan yang terpancar di wajah mereka sambil mengucapkan selamat maju jaya kepada kami telah menggambarkan satu perjuangan yang perlu kami teruskan untuk membanggakan mereka,” tambahnya.