DERITA Selangor FC berterusan apabila tewas tipis 0-1 kepada Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, sekali gus menambah luka selepas kecundang di pentas Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) pertengahan minggu lalu.
Turun dengan misi kebangkitan selepas dikecewakan Bangkok United, skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi tampak bergelut mencari rentak meskipun diperkuat pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim. Sebaliknya, tuan rumah tampil lebih bersemangat untuk mengulangi prestasi garang mereka selepas membelasah Brunei DPMM 7-1 di pentas Piala FA.
Separuh masa pertama menyaksikan percaturan taktikal yang ketat. Petrus Shitembi hampir membuka jaringan buat The Cats pada minit ke-14 namun dinafikan Kalamullah Al-Hafiz. Insiden kad merah yang ditunjukkan kepada Danial Amier Norhisham kemudian bertukar menjadi kuning selepas semakan VAR, menambah drama di babak pertama yang berkesudahan tanpa jaringan.
Babak kedua menyaksikan The Red Giants mula melancarkan asakan dengan Chrigor Moraes dan Alvin Fortes menguji kecekapan Haziq Nadzli, tetapi penjaga gol kebangsaan itu kekal ampuh di gawang.
Kealpaan Selangor akhirnya dihukum pada minit ke-68 apabila hantaran Shitembi disudahkan Ramadhan Saifullah untuk gol tunggal perlawanan, sekali gus menggegar Stadium Negeri.
Selangor cuba bangkit melalui Moraes pada minit ke-80 namun sekali lagi Haziq bertindak cemerlang menafikan percubaan lawan. Sisa-sisa kebangkitan yang diharapkan tidak menjadi kenyataan apabila keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat.
Kekalahan ini menyaksikan Selangor dipintas Kuching City yang kini menghuni tangga keempat liga, manakala skuad Kinoshi terus tercari-cari sentuhan konsisten menjelang aksi Shopee Cup menentang BG Tampines Rovers pada 24 September. The Cats pula akan menentang Imigresen FC pada 28 September dengan keyakinan yang semakin memuncak.