ALEXIA Putellas muncul pemenang Ballon d’Or wanita 2022 selepas menewaskan dua pencabar dari England.
Pencapaian itu membolehkan Putellas melakar sejarah sebagai wanita pertama memenangi anugerah itu untuk dua tahun berturut-turut.
“Tanpa rakan sepasukan, tidak mungkin saya menerima anugerah ini. Saya berterima kasih kepada staf dan kejurulatihan serta semua individu di Barcelona,” kata Putellas selepas menerima anugerah.
Dia juga amat gembira kembali ke pentas anugerah kerana sejak memenanginya tahun lalu, dia berusaha keras untuk menjadi pemain lebih baik.
Penyerang antarabangsa England, Beth Mead dari Arsenal yang membantu England muncul juara Eropah berada di kedudukan kedua manakala bintang Chelsea, Sam Kerr ketiga.
Putellas yang juga pemain tengah Sepanyol dipalit kecederaan berpanjangan di awal tahun ini, namun masih mampu membantu Barcelona melakar sejarah menang semua 30 perlawanan.
Sepanjang musim lalu, Putellas menjaringkan 18 gol dan melakukan 15 assist.