PEMAIN ping pong wanita negara, Alice Chang Li Sian tetap menaruh harapan untuk menjejakkan kaki Sukan Olimpik Paris 2024.

Biarpun berdepan ranjau berduri, atlet berusia 24 tahun itu tetap berazam memburu slot kelayakan apabila skuad negara dijadual menyertai dua kejohanan iaitu Kejohanan Dunia Berpasukan di Busan, Korea Selatan bermula 16 Februari ini sebelum mengharungi saingan bagi individu di Bangkok, Thailand pada Mei.

Alice Chang berharap ada pemain negara beraksi di Paris 2024.

Menurutnya, sebagai persiapan, skuad negara, pasukan sudah mempersiapkan diri untuk kedua-dua kejohanan berkenaan dan fokus utama kini terlebih dahulu terarah kepada merebut tempat ke suku akhir di Korea Selatan.

“Sekarang kami dalam persiapan untuk kejohanan dunia berpasukan di Busan dahulu. Di kejohanan ini pasukan yang berada di suku akhir boleh ke Olimpik.

“Memang agak susah di kejohanan dunia berpasukan tetapi saya rasa kalau tak bersaing, kita tak akan tahu bagaimana,” katanya.

Skuad ping pong negara menjalani latihan bersama skuad Korea Selatan, Januari lalu.

Sebagai persiapan, skuad negara menjalani latihan bersama skuad ping pong Jepun malah mengadakan perlawanan ujian antara kedua-dua pasukan yang berakhir semalam.

Pada Januari lalu, skuad neagra turut menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan Korea Selatan, dalam usaha memberikan pemain pengalaman berharga berdepan lawan dan corak permainan yang pelbagai.

Barisan pemain ping pong negara yang berlatih bersama pemain kebangsaan Jepun. Semalam menjadi hari terakhir latihan bersama sebagai persediaan ke Kejohanan Dunia Berpasukan di Busan, Korea Selatan, minggu hadapan.

Skuad wanita negara berada dalam kumpula 5 pada Kejohanan Dunia Berpasukan di Busan, bersama pasukan tuan rumah Korea Selatan, Puerto Rico, Itali dan Cuba.

Alice antara atlet wanita negara yang membantu meraih pingat perak acara berpasukan wanita di Sukan Komanwel Birmingham 2022 bersama Tee Ai Xin, Karen Lyne dan Ho Ying.

Undian Kejohanan Dunia Berpasukan Wanita yang mennyaksikan skuad ping pong negara berada dalam kumpulan 5 bersama tuan rumah, Korea Selatan.

Malah, Alice turut membantu kem ping pong meraih pingat di Sukan SEA Kemboja 2023 dalam acara berpasukan wanita (perak) dan beregu wanita (gangsa).

“Di Sukan SEA tahun lalu, kami mara ke final berpasukan wanita, kali pertama dalam tempoh 33 tahun. Jadi tahun ini, harap untuk sukan ping pong, ada yang layak ke Olimpik,” kata Alice.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia mempunyai wakil pada Sukan Olimpik dalam acara ping pong, menerusi penyertaan dua pemain wanita iaitu Lau Wai Cheng dan Leong Mee Wan pada edisi 1988 di Seoul.