KEJOHANAN polo berprestij, Royal Pahang Classic 2025, dijangka kembali dengan penuh gemilang, apabila lima pasukan terkemuka negara bertembung merebut kejuaraan.

Tumpuan utama sudah pasti terarah kepada pasukan tuan rumah, Royal Pahang, yang bakal dipimpin sendiri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Penyertaan baginda mengesahkan lagi komitmen istana dalam memartabatkan sukan polo di Malaysia.

Kejohanan bersempena hari keputeraan Sultan Pahang Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ini turut diserikan dengan penyertaan seorang lagi kerabat diraja, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah yang akan mengetuai cabaran pasukan La Bendahara, yang turut dibarisi pemain handalan seperti Jalal Arsalan dan Muhammad Edham, sekali gus menjanjikan saingan sengit dan mempamerkan kehebatan “sukan raja-raja” ini di peringkat tertinggi.

Menambah rencah dan tarikan kepada kejohanan kali ini ialah kemunculan bekas Menteri Kesihatan serta bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau akan beraksi di bawah panji pasukan Jogo Polo, sebuah pasukan yang turut menampilkan pemain profesional seperti Carlos Pando dan Salvador Arrastua.

Kehadiran Khairy, yang sememangnya dikenali sebagai peminat tegar sukan polo, pastinya akan menarik perhatian peminat sukan dan orang ramai.

Persaingan dalam kategori 4-6 Gol ini akan turut dimeriahkan oleh dua lagi pasukan hebat iaitu La Sarita Gold dan Kelab Polo Kuala Lumpur (KLPC).

Setiap pasukan membawa barisan pemain yang menggabungkan pengalaman pemain profesional antarabangsa dengan bakat tempatan, memastikan setiap perlawanan menjanjikan aksi yang pantas, strategik dan berkualiti tinggi.

Bagi pasukan Royal Pahang, Tengku Mahkota Pahang akan bergandingan dengan pemain berpengalaman seperti Tengku Ahmad Shahzril Ezzani dan Amran Selamat, Muhammad Shahir Akmal, Muhammad Sharifuddin, dan Muhammad Taufiq, memberikan mereka pelbagai pilihan strategik untuk menghadapi lawan.