Kredit Gambar: ONE Championship
Jaguh muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib mencipta sejarah apabila muncul rakyat Malaysia pertama bergelar juara dunia ONE Championship selepas menewaskan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao menerusi kemenangan knockout (KO) pada ONE: The Inner Circle 23 di Stadium Lumpinee, Bangkok, malam ini.
Kemenangan itu menyaksikan Aliff merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight, sekali gus menjadi atlet Malaysia pertama menjulang kejuaraan dunia di pentas organisasi seni bela diri terbesar dunia itu.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang datang memberikan sokongan. Saya sudah berjanji untuk membawa pulang kejuaraan ini ke Malaysia dan hari ini saya berjaya menunaikannya.

“Saya berusaha bersungguh-sungguh dan mengharungi pelbagai cabaran untuk mendapatkan tali pinggang ini. Kejuaraan ini saya hadiahkan khas kepada ayah saya,” katanya sejurus tamat pertarungan.
Selain tali pinggang kejuaraan dunia interim, Aliff turut membawa pulang bonus kemenangan bernilai AS$50,000 (kira-kira RM204,570).
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Sudah agak lama saya tidak menerima bonus seperti ini, lebih setahun. Saya sangat gembira dan bersyukur,” katanya.