Kredit Gambar: RTM
Juara bertahan powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin gagal mempertahankan gelaran juara Sukan Komanwel selepas sekadar meraih pingat gangsa dalam acara lightweight lelaki di Glasgow 2026, hari ini.
Juara Paralimpik Paris 20204 itu menamatkan saingan di tempat ketiga menerusi angkatan terbaik 220 kilogram (kg) untuk mengumpul 153.5 mata, sekali gus terlepas peluang mempertahankan kejuaraan.
Pingat emas menjadi milik atlet England, Mark Swan yang melakukan angkatan 222kg dengan berat badan 71.5kg untuk mengumpul 153.9 mata, manakala wakil Nigeria, Roland Ezuruike meraih perak selepas melakukan angkatan 185kg dengan berat badan 50.8kg, turut mengumpul 153.9 mata.
Walaupun dipisahkan dengan jurang mata yang cukup tipis, kelebihan memihak kepada Swan untuk dinobatkan sebagai juara, manakala Bonnie terpaksa berpuas hati di tangga ketiga.
Keputusan itu menyaksikan Bonnie gagal mengulangi kejayaan yang dilakar di Birmingham empat tahun lalu, namun masih menyumbang pingat berharga buat kontinjen negara.