KEJOHANAN Perak Football Varsity Challenge (PFVC) 2025 kembali mencuri tumpuan apabila UiTM Cawangan Perak sekali lagi menjadi tuan rumah edisi kedua kejohanan yang semakin berkembang sebagai platform penting pembangunan bakat bola sepak Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negeri itu.

Bermula 22 hingga 27 November di Kampus Seri Iskandar, kejohanan kali ini hadir dengan sokongan lebih besar dan penyertaan lebih kompetitif, sekali gus mengangkat nilai PFVC sebagai pentas serius melahirkan generasi pelapis.

Penganjuran PFVC 2025 turut mendapat dokongan kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, YB Dato’ Khairudin Abu Hanipah, yang menaja piala kejuaraan sebagai simbol komitmen negeri dalam memperkukuh ekosistem sukan.

Kejohanan melibatkan lapan pasukan beraksi dalam format liga dan kalah mati bagi merebut Piala YB Dato’ Khairudin, termasuk juara bertahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dijangka sekali lagi menjadi pasukan pilihan.

Persaingan dijangka sengit dengan cabaran daripada UiTM Cawangan Perak selaku tuan rumah, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Teknologi Petronas (UTP), IPG Kampus Ipoh, UniKL RCMP, Kolej Poly-Tech MARA Ipoh dan pasukan jemputan SMK Gunung Rapat, sekolah yang membawa status Sekolah Sukan Negeri Perak.

Kejohanan ini bukan sahaja menawarkan aksi berkualiti, malah menjadi medan penting untuk bakat muda menunjukkan kemampuan mereka kepada panel kejurulatihan, pencari bakat dan pasukan elit.

Rektor UiTM Cawangan Perak, Prof. Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim, menyifatkan sokongan kerajaan negeri sebagai elemen utama kejayaan penganjuran PFVC.

“Kami sangat menghargai komitmen kerajaan negeri yang memungkinkan kejohanan ini diteruskan dan diperkasakan. PFVC bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah platform pembangunan sukan yang memberi impak besar kepada mahasiswa dan belia,” katanya.

PFVC 2025 dijangka menjadi tumpuan penyokong bola sepak seluruh Perak dengan aksi kompetitif dan semangat kesukanan yang tinggi, selain membuka ruang kerjasama strategik yang lebih kukuh antara UiTM dan kerajaan negeri dalam agenda pembangunan sukan mampan. Penganjur akan memaklumkan perkembangan serta jadual perlawanan menerusi saluran rasmi sepanjang kejohanan berlangsung.