KETUA jurulatih Jordan, Hussein Ammouta menegaskan kejayaan mengumpul tiga mata dalam perlawanan pertama kempen Piala Asia 2023 adalah penting.

Pada masa sama, dia memuji pemainnya atas disiplin dan fokus mereka untuk menyelesaikan tugas dalam padang.

“Amat penting bagi kami untuk bermula dengan kemenangan besar, sejak minit pertama, kami masuk ke perlawanan dengan cara yang betul dan sangat penting kami menjaringkan gol kedua dan ketiga serta mengekalkan rentak.

“Kami memperoleh keyakinan dengan tiga gol pada separuh masa pertama, ia adalah permulaan yang hebat dan kami menantikan perlawanan seterusnya,” kata jurulatih asal Maghribi berusia 54 tahun itu.

Dua gol masing-masing oleh Mahmoud Al-Mardi dan Mousa Al-Taamari memberikan Jordan permulaan yang sempurna untuk mendahului Kumpulan E dan berkongsi kedudukan teratas dengan juara dua kali Korea Selatan.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan Alhamdulillah dan ini gol pertama pertama saya dalam Piala Asia.

“Bertemu Korea dan Bahrain untuk aksi seterusnya, anda perlu fokus dalam 90 minit dan kami sudah bersedia,” kata Al-Mardi yang juga bekas pemain Kedah Darul Aman FC musim 2022.