AKSI pembukaan Piala Asia 2023 yang ditunggu-tunggu sejak 43 tahun lalu menjadi mimpi ngeri buat skuad kebangsaan apabila dibelasah 0-4 oleh Jordan dalam perlawanan yang serba tidak menjadi dipamerkan barisan pemain dan kejurulatihan.

Gagal mengawal keadaan dengan corak taktikal yang berlainan menyaksikan Malaysia ketinggalan tiga gol seawal 25 minit pertama perlawanan dan sedikit bernasib baik kerana satu lagi jaringan dibatalkan selepas campur tangan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Tambah mengejutkan, dua daripada empat gol Jordan dijaringkan pemain yang beraksi di Liga Malaysia (Liga-M), Mahmoud Al Mardi yang bermain untuk Kedah Darul Aman FC ketika musim 2023.

Al Mardi menjaringkan dua gol pada minit ke-12 dan 25 sebelum dikeluarkan sejurus gol ketiga kerana mengalami kecederaan dan perlu diberikan rawatan sebelum perlawanan kedua bertemu Korea Selatan pada 20 Januari.

Bukan hanya Al Mardi, dua lagi pemain ‐ Noor Al Rawabdeh dan Yazan Al Arab bermain untuk Selangor FC dan mereka bermain habis-habisan umpama enjin yang menggerakkan barisan tengah dan membentuk pertahanan yang kental.

Kehadiran tiga pemain ini dalam kesebelasan utama Jordan membuktikan kualiti yang ada pada diri mereka dan juga sebagai bukti bahawa pemain import yang beraksi di Liga Malaysia adalah pemain yang bukan calang-calangnya.

Seorang lagi pemain Jordan yang bermain di Liga Malaysia bersama PDRM FC, Fadi Awad tidak diturunkan tetapi berada dalam barisan 22 pemain ketika menentang Harimau Malaya pada Isnin.

Berstatus liga ke-11 terbaik Asia, Liga Malaysia sememangnya berjaya menarik minat banyak pemain asing untuk menabur bakti menambah kekuatan pasukan selain berpeluang untuk menyarung jersi kebangsaan masing-masing.

Selain Jordan, Lebanon juga mempunyai pemain yang bermain di Malaysia dan selepas berakhir Piala Asia, dijangka lebih banyak prospek baharu akan diintai kelab-kelab tempatan untuk memnawa mereka ke sini.