KETIKA tekanan semakin memuncak di kem Manchester United selepas kekalahan ke-14 musim ini, Ruben Amorim kekal tenang tetapi mengakui, tiada yang lebih menyakitkan daripada tewas di atas padang.
United yang kini berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris, sekali lagi dikecewakan apabila dibenam Newcastle United 4-1 dalam aksi di St James’ Park, awal pagi tadi.
Dua gol pantas daripada Harvey Barnes memanfaatkan kelonggaran di benteng pertahanan Red Devils, menambah derita pasukan yang kini sudah menyamai jumlah kekalahan mereka sepanjang musim 2023-2024.
“Saya faham kritikan, tapi saya tak peduli. Tiada yang lebih buruk daripada kalah perlawanan.
“Kalau tengok kedudukan kami di liga, ia dah cukup untuk menceritakan segalanya,” kata Amorim dalam nada yang cukup terbuka kepada media.
Selepas ketinggalan 2-0 seawal babak kedua, United jelas hilang arah. Amorim tidak menafikan bahawa pemainnya perlu lebih kuat secara mental dan belajar mengawal situasi dengan lebih baik, sesuatu yang mereka gagal lakukan sepanjang musim ini.
Dalam usaha mengubah nasib pasukan, Amorim membuat lima pertukaran dalam kesebelasan utama, termasuk satu keputusan mengejutkan apabila Andre Onana digugurkan terus dari skuad.
Tempatnya diambil oleh penjaga gol Turki, Altay Bayindir yang membuat penampilan sulung di EPL, namun debut itu bertukar mimpi ngeri apabila kesilapannya menghadiahkan gol keempat buat Newcastle.
“Kita tak akan tahu keputusan walaupun turunkan barisan berbeza, tapi kita perlu buat pilihan. Kami baru bermain tiga hari lalu.
“Sekarang tumpuan kena beralih ke aksi Khamis ini,” katanya merujuk pertembungan penting menentang Lyon dalam aksi timbal balik suku akhir Liga Europa.
Dalam keadaan yang serba tak menjadi, Amorim tetap menegaskan fokus utama adalah bangkit semula dan memastikan mereka mara di pentas Eropah.
Namun, jika kekalahan terus membelenggu, bukan mustahil musim ini bakal menjadi antara yang paling mengecewakan dalam sejarah moden Manchester United.