SEORANG peminat cilik Newcastle United berusia sembilan tahun, Sammy Scott, kantoi ponteng sekolah selepas dirakam kamera meraikan kemenangan pasukannya dalam perlawanan Carabao Cup menentang Arsenal tempoh hari.
Menurut laporan antarabangsa, Sammy Scott, yang sangat teruja untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir pusingan pertama itu, pergi ke London bersama bapanya, Mark, selepas ibunya, Claire, memaklumkan kepada sekolah bahawa dia tidak sihat.
Namun, segalanya berubah apabila kamera Sky Sports menangkap aksi Sammy di barisan hadapan Emirates Stadium sedang bersorak gembira selepas gol kemenangan Anthony Gordon yang membawa Newcastle menang 2-0.
Telefon bapa kepada Sammy Scott telah dihujani mesej daripada rakan-rakan yang memaklumkan bahawa dia dan Sammy muncul di televisyen.
Tidak lama kemudian, mereka menerima emel daripada Benton Dene Primary School yang memaklumkan bahawa ketidakhadiran Sammy pada Rabu lepas, kini dianggap sebagai ketidakhadiran tidak sah.
“Kami berada di barisan hadapan Emirates dan meraikan apabila Gordon menjaringkan gol sambil kamera menghala ke arah kami, tetapi kami tidak sedar ia dirakam.
“Selepas itu, telefon saya penuh dengan mesej dan video daripada orang ramai yang mengatakan mereka nampak kami di TV.
“Kami rasa ia lucu pada mulanya, tetapi kemudian Sky Sports menggunakan gambar Sammy dengan mesej ‘Geordie Joy’.
“Ia nampak menarik, tetapi sekolah Sammy melihatnya dan menghantar e-mel kepada kami mengenai ketidakhadiran itu,” kata bapanya yang dipetik daripada The Sun.
Newcastle kini berada di kedudukan terbaik untuk aksi separuh akhir kedua di St James’ Park bulan depan.
Peminat cilik itu sudah pasti berharap pasukan kegemarannya itu mara ke final dan menjulang trofi pertama mereka dalam tempoh 70 tahun.