AKSI di Ningbo, China yang pada awalnya menjadi medan untuk mencuba ilmu baharu daripada jurulatih legenda Indonesia, Herry Iman Pierngadi, bertukar sensasi apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan kemarau kejuaraan beregu lelaki negara, selama 18 tahun di Kejohanan Badminton Asia (BAC).

Kemenangan itu malah menamatkan prestasi tidak menentu gandingan terbabit selepas memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Paris tahun lalu.

Kali terakhir Aaron-Wooi Yik menaiki podium adalah ketika menjuarai Korea Masters pada November tahun lalu.

“Mungkin sebelum ini kami tidak benar-benar sedar beberapa perkara, tetapi bersama beliau (Herry IP) kami mungkin belajar sesuatu yang baharu.

“Di Kejohanan Asia ini, kami mahu mencuba ilmu yang diajarkan oleh jurulatih ini dan ia sangat berkesan.

“Saya berterima kasih kerana beliau mampu membawa kami ke tahap persaingan baharu,” kata Soh Wooi Yik, dipetik dari akaun ‘X’ milik pengguna, Rene Biaoli.

Ketua jurulatih beregu lelaki ABM, Herry Iman Pierngadi

Tambah Wooi Yik lagi, latihan di bawah ketua jurulatih beregu lelaki Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu amat berbeza berbanding sebelum ini kerana setiap perincian dilakukan dengan lebih teliti.

Sementara itu, Aaron membayangkan bahawa Herry cuba membawa nafas baharu buat beregu lelaki di ABM.

“Namun, saya rasa masih banyak ruang untuk kami perbaiki dan tingkatkan lagi,” ujar Aaron.

Pada perlawanan akhir semalam, Aaron-Wooi Yik berdepan pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi yang melakukan kejutan besar sepanjang kejohanan.

Bagaimanapun, permainan Aaron-Wooi Yik lebih stabil sehingga meraih kejuaraan dengan kemenangan 21-19, 21-17 dalam masa 47 minit.

Sepanjang kempen BAC, Aaron-Wooi Yik juga tidak mencicirkan sebarang set apabila memenangi perlawanan dalam pertarungan straight set.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menjuarai beregu lelaki di BAC adalah pada 2007 menerusi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, yang mempertahan kejuaraan selepas memenanginya pada 2006.