AL-IKHSAN Sports Malaysia dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Keeklr Films Sdn. Bhd telah melancarkan barangan rasmi yang berinspirasikan semangat jati diri dan perpaduan bersempena pelancaran filem Anak Rimau.
Majlis ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Senator Datuk Sri Ti Lian Ker yang nyata teruja dengan penghasilan filem yang turut mendapat usahasama daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari.
Anak Rimau adalah sebuah filem yang memberi inspirasi dan mempamerkan keinginan serta kecintaan terhadap bolasepak yang mampu menyatukan satu pasukan juara meskipun berada dalam situasi yang sukar.
Ketua Pegawai Eksekutif Sukan Al-Ikhsan, Vach Pillutla ketika ditemui berkata dia berharap koleksi khas ini dapat memberikan semangat kepada pemiliknya bersesuaian dengan tujuan syarikatnya yang menghasilkan barangan sukan mampu milik buat semua golongan masyarakat.
“Koleksi yang telah direka khas oleh Al-Ikhsan Sports diharap dapat menyerap semangat yang ingin ditonjolkan oleh filem ini dan ianya juga selaras dengan tujuan utama kami dalam memastikan Malaysia cergas dan aktif dengan menjadikan sukan mampu milik untuk semua dengan menetapkan harga yang sewajarnya.
“Barangan yang ditawarkan termasuk jersi, kemeja-T, seluar, topi, lanyard, topeng muka dan botol air dengan reka bentuk eksklusif dan ini akan tersedia di cawangan Al Ikhsan yang terpilih di Semenanjung Malaysia,” ujarnya kepada media.
Pada majlis sama, turut dilancarkan lagu tema rasmi dan video muzik Anak Rimau yang dicipta Bajai dan Amylea Azizan, dan dinyanyikan Idan Aedan, Kechikimi, Hanz Skelchy, Omar Dannyal, Joel Law dan Hakeem Sufian.
Filem arahan Areel Abu Bakar itu dilakonkan oleh Beto Khusyairy, Idan Aedan, Kechikimi, Azhan Rani, Adam Corrie, Taiyuddin Bakar, Megat Shahrizal dan Mustaqim Bahadon akan menemui penonton di pawagam pada 1 September 2022.