BUAT peminat sukan larian yang inginkan pengalaman berbeza dari biasa, IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 kembali dengan format istimewa yang kini menjadi identiti tersendiri  berlari di atas dua lebuh raya utama secara eksklusif, tanpa gangguan kenderaan.

Tahun ini, penganjur menyasarkan penyertaan 12,000 peserta selepas kejayaan edisi 2024 yang menghimpunkan lebih 10,000 pelari dari seluruh negara.

Acara yang memasuki edisi ketujuh ini bukan sekadar perlumbaan, malah satu gaya hidup komuniti yang mempromosikan kesihatan fizikal dan mental.

“Bila anda ulang laluan sama berkali-kali, anda jadi ‘legend’ di kawasan itu. Konsep Highway Legend tahun ini adalah untuk meraikan pencapaian peribadi setiap peserta. Tak kira masa atau jarak  setiap langkah ada nilainya,” kata Dato’ Lee Chun Fai, Pengarah Urusan Kumpulan IJM Corporation Berhad.

Dato’ Lee Chun Fai, Pengarah Urusan Kumpulan IJM Corporation Berhad.

Tanpa bergantung kepada satu ikon atau personaliti, IJM tampil dengan pendekatan inklusif, menjadikan setiap individu berpeluang menjadi legenda mereka sendiri.

Sama ada anda seorang pelari tegar yang mahu pecahkan rekod peribadi atau pelari kasual yang ingin mencabar kemampuan, acara ini terbuka untuk semua latar belakang.

Dua lebuh raya yang bakal ditutup sementara semata-mata untuk memberi laluan kepada pelari dijangka menjadi ‘landskap luar biasa’ dengan suasana yang penuh semangat dan unik. Lebih menarik, pelari juga akan menikmati pemandangan bandar yang jarang dinikmati dalam suasana bebas trafik.

“Kami bukan hanya buat duit dengan lebuh raya ini. Kami mahu aset yang kami miliki beri manfaat sosial kepada komuniti. Sama ada larian, kayuhan malam di LEKAS atau acara memancing di Kuantan Port semuanya kami bawa supaya orang ramai rasa dekat dengan kami,” ujar Dato’ Lee lagi.

IJM Allianz Duo Highway Challenge bukan sekadar perlumbaan, ia adalah peluang untuk menjadi sebahagian daripada komuniti aktif yang meraikan setiap pencapaian.